Aha, Profesional Pun Tidak Profesional Juga?


Zaman anak-anak dulu, bila terjumpa sesuatu semasa bermain kami akan berkata ‘cup’. Sesiapa yang berkata ‘cup’ paling awal barangan itu menjadi miliknya.

Begitu juga bila letih dikejar dalam permainan acilut, kami akan berkata ‘cup’ untuk membolehkan duduk dan berehat sekejap sementara menunggu kita dihidupkan oleh kawan-kawan yang tidak ‘cup’.

Sama juga halnya bila kita tersilap melakukan sesuatu dalam permainan seperti tersilap meneka orang yang bersembunyi ketika main-main sembunyi-sembunyi. Kesilapan itu ditebus dengan perkataan ‘cup’.

Itu permainan zaman anak-anak.

Dalam persidangan DUN atau parlimen, ungkapan ‘dengan izin’ sering kedengaran apabila kita ingin mengungkapkan sesuatu ungkapan yang bukan dalam bahasa Melayu. Sama ada speaker izin atau tidak ungkapan ‘dengan izin’ itu dikira izin.

Satu lagi ungkapan popular ialah ‘tarik balik’. Ungkapan ini disebut dalam kes-kes unparliamentary. ‘Tarik balik’ kalau tidak diungkap boleh mendedahkan pengucapnya untuk dipersalahkan.

Media melaporkan, pembawa usul supaya SIS diharamkan akan 'cup' dan 'tarik balik' usul itu. Usul ini diterima tanpa bahas.

Pas Shah Alam yang diketuai seorang profesional dilaporkan akan menarik balik ungkapan ‘mengharamkan’ dan digantikan dengan ‘berbincang’ dalam usul yang diluluskan muktamar mengenai SIS. Baca sini.

Alasannya, usul itu dihantar secara tergesa-gesa dan bukan versi terakhir. Usul itu belum sempat dipinda dan dibincangkan di peringkat kawasan kerana mesyuarat agung tahunan kawasan itu diadakan dua hari sahaja sebelum tarikh tutup.

Soalan popularnya ialah, mengapa perlu tarik balik? Kenapa sekarang perlu ditarik balik? Adakah ditarik balik kerana desakan pihak-pihak tertentu? Ditarik balik kerana kepentingan siapa? Kalau tidak ditarik balik, Pas akan ditimpa bencana besar? Kalau ya, apa bencana itu?

Saya menjangkakan kawasan Pas yang diketuai profesional tentu semuanya diurus secara profesional. Profesional mengikut kefahaman orang yang tidak profesional ialah teliti, matang, cekap, telus, masak, memuaskan, berjangkauan jauh, berisiko rendah dan apa-apa lagilah.

Namun apabila dimaklumkan Pas kawasan yang berketuakan profesional itu bermesyuarat agung dua hari sahaja sebelum tarikh tutup, usulnya tidak disemak dengan teliti sebelum dihantar, dihantar tanpa diperhalusi, itu terkeluar daripada kriteria pengurusan profesional.

Muktamar Pas berlangsung selama tiga hari. Walau pun mungkin helaian usul diserahkan kepada perwakilan pada hari usul bakal dibahaskan, mengapa usul itu tidak dipinda pada hari itu? Mengapa sekarang? Adakah tiada seorang pun perwakilan dari kawasan pimpinan profesional itu mampu menghidu asap yang bakal terbit daripada usul itu?

Mengapa boleh jadi begitu? Sedangkan kawasan yang diuruskan oleh bukan profesional tidak berlaku begitu pun.

Saya fikir usul itu tidak perlu ditarik balik atas apa keadaan pun. Sama ada usul itu diterima untuk ditarik balik atau tidak oleh Pas pusat, ia tidak perlu ditarik balik.

Habis apa yang perlu profesional yang mengetuai Shah Alam itu buat?

Ya, berhadapan dengan SIS secara profesional. Bukankah ketua Pas Shah Alam itu profesional? Anjurkan dialog, kemukakan hujah mengapa usul itu dikemukakan, tampilkan dalil daripada seerah bahawa SIS perlu berubah dan usul yang dibawa kawasan itu adalah benar.

Tampilkan bukti bahawa tindakan yang paling benar ialah SIS diharamkan kalau SIS masih bersuara dan berpendirian seperti pendiriannya sebelum ini. Itu baru dikira profesional.

Kalau ditarik balik, bayangkan persepsi orang-orang yang bukan profesional terhadap profesional.

Saya ulangi, tak perlu tarik balik. Berhadapanlah dengan SIS secara profesional.

Kecuali, kalau profesional menganggap menarik balik usul adalah profesional, maka silalah teruskan.

Tapi hati kecil saya akan berdetak, “Rupa-rupanya profesional pun tidak profesional juga. Profesional pun sudah pandai ‘cup’?”

http://bongkarsauh.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan