ANTARA BAJA DAN BUKU TEKS




Bila tonton perbahasan antara Tanjong Karang (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Tanah Merah di Parlimen, berkenaan dengan tandatangan penghulu dan penggawa yang dijadikan syarat di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk agihan baja.

Sambil menontonnya, terlintas rasa malu kerana orang yang bercakap hal berkenaan siap bertai dan berkot. Bercakap kononnya untuk membantu petani, tetapi dengan cara yang huduh, tidak sistematik dan berkempentingan politik.

Kenapa ‘sistem’ yang dibuat semuanya mempunyai asas dan kepentingan politik?

Ia terlintas difikiran kerana saya sendiri pernah melalui ‘sistem’ ciptaan UMNO ini. Ia berlaku sewaktu Aziz Shamsudin timbalan menteri pelajaran. Iaitu mengenai mewajibkan budak sekolah (waktu anak saya darjah satu) belajar bahasa arab tengahari sebaik kelas habis.

Saya masih ingat, Aziz Shamsuddin cuma buat kenyataan di tv dan dilapor kemudiaannya di dalam akhbar. Yang menyedihkan, guru kononnya melalui PIBG (Pengerusi PIBG ialah UMNO totok), terus mengeluarkan surat kepada ibu-bapa mengenai ‘arahan’ terbaru Kementerian.

Saya menulis surat kepada guru, memaklumkan saya tidak bersedia untuk membenarkan anak saya walaupun hujah kenapa ia diadakan amat baik pada pandangan Aziz Shamsuddin dan PIBG sekolah. Alasan yang saya beri ialah saya lebih suka anak saya guna masa berkenaan untuk rehat selepas penat belajar separuh hari dalam pelajaran formal.

Tetapi guru besar tidak puas hati dan mahu berjumpa mata dengan saya, saya ke pejabatnya dan perbincangan berjalan dengan baik. Saya minta guru besar berkenaan keluarkan surat arahan dari Aziz Shamsuddin atau siapa saja yang bertanggung jawab di Kementerian pada masa itu tentang arahan mewajibkan belajar bahasa arab itu. Guru berkenaan berkata ia memang tidak ada surat arahan, tetapi kenyataan sudah dibuat oleh Aziz Shamsuddin di tv dan media. Selepas itu saya mohon kepada guru untuk tidak membenarkan anak saya mengikuti kelas yang diadakan pada pukul 1.00 hingga 2.00 petang itu. Pada saya kenyataan Menteri atau kenyataan pembesar mana pun jika ia dibuat semasa interview dengan wartawan, ia bukan dikira termaktub dalam sistem. Kecuali ada dokumen bertulis yang rasmi.

Apa yang mendukacitakan saya ialah, kelas itu cuma mampu bertahan tidak sampai tiga minggu, bukan kerana tidak ada murid yang belajar, tetapi tiada ustaz yang sanggup datang kerana masanya tidak sesuai. Akhirnya kelas tersebut hilang begitu saja bersama menteri-menterinya sekali.

Ini pun menjadikan saya hairan, kenapa pegawai kerajaan boleh menerima hal begini sebagai rasmi? Mungkin kalau mereka terdengar menteri bercakap dari dalam kelambu atau masa meneran taik atau sambil kentut pun, mereka ini anggap ia sebagai arahan rasmi yang wajib diikut dan tak boleh dipersoalkan.

Dalam kes yang kedua, saya telah diberi borang untuk bantuan buku teks yang mana borang berkenaan perlu disahkan oleh ketua kampong tempat saya tinggal di sebuah kampong di Selangor. Memang ada ruang pengesahan ketua kampong di dalam borang berkenaan, terutama untuk sahkan gaji saja. Pada anak-anak saya beritahu buku semuanya nanti kita beli. Memang niat saya dari awal memang tidak akan minta bantuan buku teks dari sekolah. Anak-anak saya setuju.

Sebaliknya, disuatu masa dalam mesyuarat PIBG saya ketengahkan pekara berkenaan dengan memohon Pengerusi PIBG dan Guru Besar tunjukkan saya di mana letaknya jawatan ketua kampong di dalam carta organisasi sekolah. Kerana pada saya, kuasa ketua kampong amat besar kuasannya sehinggakan ia boleh membuat keputusan siapa yang layak dan siapa yang tidak layak mendapat bantuan buku teks.

Oleh kerana itu pemahaman saya, maka soalan itulah yang ajukan kerana pada saya sepatutnya Guru Besar lebih besar kuasanya dalam hal ehwal sekolah.

Saya memang tahu semua itu adalah kerja hasil dari akar umbi UMNO yang tidak reti dan hormat kepada sistem yang sudah sedia ada. Mereka ini suka-suka buat sistem sendiri sambil memasukkan elemen politik kampong. Begitu juga dari sekarang lagi saya pesan kepada anak-anak, kalaupun mempunyai kelayakan akademik untuk masuk ke sekolah berasrama penuh, mereka tidak akan dihantar ke situ. Biar mereka faham sekolah asrama penuh ialah awal niatnya ialah membantu mereka yang kurang mampu dari segi kewangan tetapi layak dari segi akademik.

Tetapi malangnya dari pengamatan yang dibuat, anak-anak orang kaya-kayalah yang berlumba-lumba untuk memasuki sekolah berasrama penuh, anak-anak saudagar syed, sheikh, maidin, shah dan sejenis dengan tokeh-tokeh nasi kandar lah kini meramaikan sekolah-sekolah berasrama penuh yang menjadi sekolah elit di Malaysia. Sekurang-kurangnya biar anak tahu walaupun bukan saudagar kaya tetapi boleh bertahan dengan penat lelah sendiri serta biar mereka faham ramai lagi pihak yang lebih memerlukan untuk kesekolah berasrama penuh.

Serupa juga kes pembahagian baja, kalau Malaysia ini mempunyai sistem, baja padi tak perlu letak lambing dacing atau bulan. Tak perlu ketua kampong untuk tandatangan dan sebagainya. Bukankah sudah ada kakitangan kerajaan yang dibayar gaji untuk melakukan kerja berkaitan?

Malulah ahli parlimen semua, terutamanya ahli parlimen kerajaan. Sudah 50 tahun merdeka perkara ini belum selesai lagi macamana? Rakyat sudah ada naik ke stesen angkasa lepas, renang sungai thames, keliling dunia dengan kapal layar, daki gunung everest dan seumpamanya. Tetapi sistem untuk kepentingan rakyat masih lagi tak tentu hala dan diubah sesuka hati di bawah cengkaman kuasa satu-satu parti politik. Tetapi kononnya semua bercakap untuk kepentingan rakyat.

Kalau kepentingan rakyat itu dijadikan satu sistem yang sistematik, Insyallah siapa pun Pemerintah dan Kerajaan, rakyat tidak akan terabai dan kehidupan menjadi selesa.

Muramatsu
UK

19.06.2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan