Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk ditarik balik pertuduhan liwat ke atas beliau.
Beliau turut meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan kes itu yang ditetapkan pada 1 Julai.
Permohonan itu difailkan oleh peguam Anwar Sankara Nair petang tadi.
Menurut Sankara, pertuduhan itu adalah satu lagi konspirasi politik untuk membunuh kerjaya politik anak guamnya.
Beliau berkata pertuduhan itu berniat jahat, menindas dan adalah penyalahgunaan proses mahkamah.
"Walaupun wjujud keterangan-keterangan sah dari pakar-pakar yang menolak berlakunya kejadian liwat sebagaimana yang didakwa oleh pengadu, pihak pendakwaan telah masih meneruskan pendakwaan jahat terhadap Anwar," kata Anwar.
Ini permohonan kedua Anwar dalam tempoh seminggu. Rabu lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengarahkan Pejabat Pendakwaraya menyerahkan bukti kes yang relevan kepada pembelaannya.
Penyerahan itu adalah termaktub dalam Kanun Acara Jenayah bagi memastikan hak tertuduh untuk mendapatkan pembelaan terbaik.
Walaupun perbicaraan akan bermula kurang dua minggu, pejabat Pendakwa Raya berkeras enggan membekalkan peguam Anwar dengan pita rakaman CCTV yang asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008.
Begitu juga dengan contoh DNA, kenyataan-kenyataan saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan kenyataan polis.
Permohonan itu akan didengar Isnin depan.
-TVAntara.com.my-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan