Jimadie Shah Othman |
"Saya bersedia menghadapi orang-orang berpengaruh. Saya bukan mahu takabur, tetapi (apa yang berlaku ini) sudah luar biasa sekali.
"Saya akan terus berjuang semaksima mungkin dan terus berserah kepada Allah yang Maha Esa," katanya kepada Malaysiakini melalui telefon hari ini.
"Semua yang berlaku kepada anak saya sehingga sekarang benar-benar di luar imaginasi. Saya percaya Tuhan akan menolong kami."
Daisy berkata, walaupun beliau mengkritik tindakan menantunya Tengku Muhammad Fakhry Petra tetapi beliau tidak menafikan "masih terdapat kerabat kesultanan Kelantan yang masih bergaul mesra dengan orang ramai."
Daisy memberitahu demikian ketika diminta mengulas laporan polis menantunya, yang dikenali juga Tengku TT, terhadap beliau dan anaknya atas dakwaan memfitnahnya.
Dalam aduannya semalam, putera Sultan Kelantan itu dilaporkan menyifatkan tuduhan isteri dan ibu mertuanya sebagai "pembohongan besar."
Polis Kuala Lumpur menyerahkan kes yang dilaporkan itu untuk disiasat oleh polis Kubang Kerian, Kelantan.
Semalam, peguamnya Mohd Haaziq Pillay berkata, Tengku Muhammad Fakhry juga merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-duanya berhubung tuduhan mereka, sejak April lalu.
Daisy berkata, setakat ini, beliau tidak perlu ke Malaysia untuk membantu siasatan polis berdasarkan laporan yang dibuat terhadapnya semalam.
"Saya tidak nampak keperluannya untuk ke sana. Soalnya sekarang, apakah mereka (Tengku Temenggong) berani datang ke Indonesia atau tidak?" katanya ketika mengulas kenyataan peguamnya Farhat Abbas hari ini.
Manohara, ibu disiasat
Farhat dilaporkan berkata beliau sendiri akan menemani anak guamnya ke Kuala Lumpur jika polis Malaysia memanggil Manoharadan Daisy susulan aduan polis Tengku Muhammad Fakhry.
Namun harus ada jaminan terlebih dahulu bahawa Manohara dan Daisy Fajarina dapat pulang ke Indonesia, lapor akhbar internetDetik.com.
Ketika Malaysiakini minta mengulas kemampuannya mencabar Tengku Temenggong melalui proses undang-undang, Daisy hanya berkata:
"Saya akan terus berjuang seperti sebelum ini."
Daisy bagaimanapun tidak dapat bercakap panjang kerana, menurutnya, beliau sedang diwawancara media Indonesia di Jakarta ketika itu.
Dalam perkembangan berkaitan, timbalan ketua polis Kelantan berkata polis akan mendapatkan keterangan Manohara dan Daisy untuk melengkapkan siasatannya.
Bercakap kepada New Straits Times petang ini, Datuk Amir Hamzah Ibrahim menyatakan siasatan tersebut akan dijalankan bersama siasatan terhadap beberapa blog yang didakwa menfitnah kerabat istana Kelantan.
Tambahnya, siasatan itu dibuat bawah Kanun Keseksaan bagi kesalahan menfitnah.
Laporkan sendiri kes
Sementara itu, di Jakarta, kementerian luar Indonesia menyarankan Manohara agar melaporkan sendiri kesnya kepada polis Malaysia tanpa perlu mengadu kepadanya, lapor Detik.com.
Kementerian itu bagaimanapun sedia membantu proses aduan polis Manohara - mengulas hasrat bekas model muda itu untuk mengadu kepada kementerian isu yang sedang dihadapinya, minggu depan.
"Idealnya sebagai pihak yang berperkara, bisa langsung mendaftarkan perkaranya ke pihak polis Malaysia," jurucakap kementerian itu Teuku Faizasyah dipetik berkata hari ini.
"Kita akan fasilitasi jika diperlukan penyampaian berkas-berkas perkaranya ke sana."
Diminta mengulas aduan polis Tengku TT, Faizasyah menyerahkan sepenuhnya pada Manohara dan peguamnya.
Semalam, Farhat dilaporkan bercadang membawa kesnya kepada pengetahuan kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta jika Indonesia tidak mampu berbuat demikian.
"Dia kan juga warga negara Amerika. Kalau Indonesia nggak mampu (membantu laporan), ya kita ke Amerika," katanya, lapor akhbar web itu lagi.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan