SHAH ALAM, 6 Jun (Hrkh) - PAS diingatkan jangan terlalu ghairah bersama Pakatan Rakyat untuk mengambil pemerintahan negara tetapi mula lupa untuk menjadi pembela dan berada di barisan hadapan untuk pertahankan isu-isu agama. Demikian luahan perwakilan Johor, Ahmad Zulkornian apabila dalam ucapan perbahasannya atas ucapan terima kasih Presiden PAS itu beliau turut mencipta kelainan semasa berucap mengungkapkan ungkapan berirama ala-ala sajak. Sajaknya telah memukau hadirin seketika yang berada dalam persidangan Muktamar PAS Tahunan ke-55 yang berlangsung di Stadium Malawati, hari ini. Dengan penuh semangat beliau mendeklamasi bait-bait yang mempunyai maknanya tersirat dan tersurat: Negara kita amalkan demokrasi Musuh kita banyak konspirasi Banyak autokrasi banyak birokrasi Banyak kuku besi Banyak buta tuli Banyak provokasi banyak eksploitasi Hingga tercetus reformasi
Ini sebagai satu manifestasi Namun kita kurang integrasi Hidup bagai nafsi-nafsi Macam tak boleh kongsi Mental kita telah direvolusi Kita sering dimanipulasi Bimbang berlaku korupsi bila jiwa tak diisi Inilah implikasi
Sementara itu, selain menyelitkan bait-bait tersebut beliau berkata," sepatutnya tahaluf bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat, membawa maslahah dan kita mengikat parti." Namun katanya, apa yang membimbangkan PAS Johor di dalam keghairahan bersama Pakatan Rakyat untuk mengambil pemerintahan negara, PAS dilihat seolah-olah mula longgar di atas beberapa teras perjuangan yang selama ini PAS sebagai pembela dan berada di barisan hadapan untuk pertahankan isu-isu agama. Isu-isu tersebut katanya, seperti penutupan atau perampasan sekolah agama rakyat, menghina Islam, murtad dan sebagainya. "Dalam isu murtad, dulunya bila berlaku perkara ini, ia akan menjadi keutamaan untuk dipertahankan. "Tetapi sekarang seolah-olah kita mendiamkan diri, lesu dan tidak memberikan perhatian lagi, kalau ada pun sekadar melepaskan 'batuk di tangga'," katanya. Beliau berkata dahulu, sebarang bentuk penghinaan terhadap Islam ia akan menjadi keutamaan untuk diambil tindakan. Ahli-ahli PAS tegasnya, sanggup turun ke padang dan bermandi darah demi menjaga maruah dan kesucian agama Islam. Hari ini pula katanya, seolah-olah hanya mempunyai satu agenda perjuangan iaitu bagaimana hendak ke Putrajaya. Matlamat agenda tersebut katanya, seolah-olah mengharuskan PAS menangguhkan agenda-agenda utama lain termasuk menangani isu akidah. Contohnya, baru-baru ini kabinet mengeluarkan keputusan yang jelas bertentangan dengan syarak dan perlembagaan berhubung hak menentukan agama anak-anak di bawah umur. "Keputusan ini jelas mencabar hak umat Islam namun berapa ramai ahli PAS yang membantah, di mana Pemuda PAS, di mana Muslimat PAS, adakah kita ingin melihat saja dan tidak dapat berbuat apa-apa apabila berdepan dengan isu ini?" soalnya. Beliau berkata, menegakkan negara Islam, melaksanakan sistem perundangan Islam, memerangi gejala murtad dan sebagainya mesti menjadi agenda utama dan diutamakan dalam perjuangan PAS. "Walaupun ia adalah di luar kerangka Pakatan Rakyat, perkara ini mesti jelas kerana ia prinsip perjuangan," ujarnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan