Nizar : Tindakan spontan, wakili reaksi rakyat Perak

Irwan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh)- Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan,tindakan beliau melaungkan perkataan "Bubar Dun" Perak sebaik sahaja selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat kelmarin adalah reaksi spontan yang tidak langsung dirancang.

Namun, kata beliau, tindakan yang dilakukan sebaik mengangkat sumpah merupakan 'sesuatu yang perlu dilakukan'.

Nizar menjelaskan, tindakan beliau itu merupakan reaksi meluahkan perasaan dan mewakili seluruh rakyat Perak berhubung krisis politik yang berlaku di negeri tersebut.

"Tindakan itu berlaku secara spontan dan tidak dirancang sama sekali.

"Saya mengangkat sumpah untuk menjaga kedaulatan perlembagaan tetapi dalam masa yang sama Umno dan Barisan Nasional melanggar perlembagaan di Perak.

"Bagaimana perasaan saya ketika itu... mengangkat sumpah untuk menjaga kedaulatan perlembagaan tetapi di negeri saya ia dilanggar?" kata beliau dalam satu sidang media di lobi Parlimen.

Nizar pada 15 Jun lalu diperintahkan keluar dewan oleh Speker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebaik sahaja menurunkan tandatangan angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Turut sama diarah keluar bersama Nizar ialah lima lagi ahli Parlimen Dato' Mahfuz Omar (Pokok Sena), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Dr Zulkefeli Ahmad (Kuala Selangor), Ngeh Khoo Ham (Beruas), Nga Kor Ming (Taiping) dan N Gobalakrishnan (Padang Serai).

Mahfuz pula berhujah dengan Speaker bahawa beliau hanya mengenakan lilitan di lengan dan harus dibenarkan.

Beliau kemudian meninggalkan Dewan Rakyat.

Nizar berkata, saat tersebut adalah peluang keemasan untuk beliau melaungkan perkataan itu kerana semua menteri termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berada di dalam Dewan.

"Ia adalah peluang keemasan. Ketua yang merampas Perak tidak ada hari ini, jadi bila lagi masa yang terbaik.

"Saya percaya apa yang saya buat adalah apa yang saya patut buat," katanya.

Sementara itu, Ngeh meminta Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta maaf atas tindakan beliau menghalau mereka keluar kerana katanya, tidak ada peruntukan khusus yang menyatakan lilitan seperti yang dipakai mereka Isnin lalu adalah menyalahi peraturan Dewan.

"Speaker Parlimen tidak ada hak menghalau kami keluar kerana tidak ada dalam perintah tetap Parlimen di mana Speaker ada kuasa menggantung kami kerana memakai lilitan itu," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan