Abdul Rahim Sabri |
Pemuda PAS mendesak siasatan segera dijalankan berhubung penemuan 14 keping kad pengenalan lama di tempat pembuangan sampah di Tampoi seperti telah diadukan kepada polis 8 Jun lalu. "Saya merasakan isu ini adalah isu besar. Bukan persoalan parti politik, PAS atau Umno atau sebagainya tetapi kita ingin membayangkan sekiranyanya kad pengenalan ini dikeluar dengan sewenang-wenangnya daripada Jabatan Pendaftaran, maka kebimbangan kita akan berlakulah isu keselamatan yang sangat besar kepada negara kita,” kata Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil. "(Ini) kerana kad pengenalan yang menjadi dokumen penting kemungkinan boleh dijual kepada sesiapapun termasuk kepada pendatang asing yang mungkin memberi kesan negatif kepada negara kita." Beliau menambah, laporan polis itu dibuat exco Pemuda PAS Johor, Za'aba Ibrahim di balai polis Skudai dua hari selepas kad pengenalan itu ditemui. Pemuda PAS mempertikaikan bagaimana kad pengenalan tersebut boleh berada di tempat pembuangan sampah sedangkan tiada kesan dokumen tersebut telah dilupuskan. "Saya difahamkan kad pengenalan tersebut perlu dipotong atau ditunjukkan bukti bahawa ia dilupuskan," kata Khairul Faizi, yang dilantik penolong setiausaha Dewan Pemuda PAS hari ini, dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur. "Tetapi keaadaan kad pengenalan ini sangat cantik keadaannya, tidak ada ciri-ciri ia dilupuskan." Selain mengedarkan salinan laporan polis Za'aba, beliau turut melampirkan salinan fotokopi gambar-gambar tempat kad pengenalan itu ditemui. Menurut polis tersebut, selain kad-kad pengenalan, turut ditemui sekeping lesen memandu yang tamat tempoh, sekeping kad pegawai mesyuarat pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan, sekeping kad kursus jentera pilihanraya Umno dan lima keping kad perwakilan parti tersebut. Khairul Faizi berkata, sekiranya tiada tindakan susulan, Pemuda PAS akan mengambil tindakan selanjutnya termasuk membawa perkara ini ke sidang Parlimen. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan