Dalam wawancara khas dengan Suara Keadilan, Datuk Zaid berkata mesyuarat bulanan antara pucuk pimpinan tertinggi PKR, PAS dan DAP, umpamanya banyak membantu meningkatkan persefahaman dalam Pakatan dan membolehkan ia bergerak cergas sebagai satu entiti bersepadu.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu adalah tokoh terbaru menyertai PKR dan berhasrat turun padang bagi membantu memperkukuhkan Pakatan Rakyat sebagai gerakan lebih dinamis dan bebas dari tidak sentimen perkauman.
"Pemimpin Pakatan Rakyat mestilah lebih mesra diantara satu sama lain. Ini kerana kita umpama dalam satu perahu di mana perjalanan kita masih jauh dan destinasi kita juga masih jauh. Jadi untuk berjaya sampai ke destinasi kita mesti kurangkan pergeseran sama sendiri, sesama parti dan sesama ahli," kata Zaid.
"Cara pertama kita boleh mulakan ialah melalui mesyuarat dan perjumpaan sekerap mungkin. Bagi saya lebih baik kita berkelahi dalam bilik daripada di luar. Saya berpendapat mesyuarat pucuk pimpinan parti sebulan sekali yang lebih berstruktur adalah penting, “ tambah beliau.
Zaid berkata Pakatan Rakyat harus memperkukuhkan imejnya sebagai alternatif yang boleh menjadi tonggak sandaran rakyat, menggantikan Barisan Nasional yang semakin tidak relevan.
Beliau berkata perbedaan pendapat antara parti dalam gagasan itu harus dilihat dalam konteks yang betul. Yang lebih penting iltizam ketiga-tiga parti terbabit untuk membina dan mengukuhkan kerjasama antara mereka.
"Kita mesti ingat permasalahan yang dihadapi Pakatan Rakyat adalah kerana ia hendak bersama-sama dan juga ia baru bekerjasama memerintah dibeberapa negeri. Oleh itu kita mesti berkawan rapat pada peringkat pimpinan, mesti selalu berjumpa dan bertukat pendapat,” kata Zaid.
“Langkah pertama ialah merapatkan hubungan dan daripada itu baru timbul persahabatan dan kepercayaan. Pakatan Rakyat bukan sekadar kerjasama pilihan raya tetapi ia lebih daripada itu," tegas Zaid.
Beliau bersetuju dengan usul PAS pada muktamar parti minggu lalu yang mahukan Pakatan Rakyat didaftar sebagai sebuah entiti rasmi.
"Pakatan Rakyat perlu struktur yang lebih formal dan kalau kita layak dari segi undang-undang kita harus daftarkan. Ini akan memperkuatkan jentera dan organisasi. Kita akan dapat berkongsi sumber dan dengan ini kita boleh membina satu jenama baru,” kata Zaid.
"Penjenamaan amat penting dalam zaman sekarang kerana ini melibatkan persepsi orang ramai yang ingin tahu apakah itu Pakatan Rakyat. Alangkah lebih baik kalau orang melihat Pakatan Rakyat ini sebagai satu parti politik yang matang yang liberal, adil dan diterima sebahagian besar rakyat.
Beliau berkata gagasan itu perlu terus mendekati rakyat secara lebih tersusun dengan dasar dan pegangan yang jelas serta didokong bersama.
"Kalau kita hendak pamerkan keupayaaan kita memerintah Malaysia secara simbol tidak mencukupi, kita perlu ketengahkan siapa pemimpin kita, apakah dasar-dasar pembangunan, ekonomi, kewangan, pembangunan luar bandar, hubungan kaum. Semua ini kita perlukan menyatakan dengan lebih bernas dan kemas," tambah Zaid.
Zaid berkata Pakatan Rakyat harus mengelak daripada terjebak dalam kerangka politik perkauman Barisan Nasional yang lebih bersifat elitist dan tidak lagi bertunjangkan kepentingan rakyat.
"Pakatan Rakyat menerima hakikat bahawa negara ini adalah sebuah negara demokratik dan kita terima kepelbagaian. Apabila kita terima kepelbagaian ini, tidak perlu kita disatukan dalam satu kerangka. Kerangka kita ialah kepelbagaian, itulah sebenarnya perpaduan kita,” kata beliau.
“Umno tidak tahu atau tidak boleh terima kerangka ini maka timbullah "Ketuanan Melayu",(dan pada masa sama) "Satu Malaysia. Ini menunjukkan kecetekan fahaman dan ketidakyakinan apakah bentuk konsep politik yang mereka hendak perjuangkan.
"Umno tidak ada "reality check". Agak rumit mereka membuat perubahan sebab mereka tidak mahu menerima sesuatu yang jelas kerana mereka menolak realiti politik sekarang," kata Zaid.
Zaid berkata beliau mendokong perjuangan PKR setelah mengikuti kerjasama erat antara pemimpin Pakatan Rakyat dan juga di peringkat akar umbi pada beberapa pilihan raya kecil lalu.
"Saya amat tertarik kepada kerjasama politik baru yang didokong bersama oleh PKR, PAS dan DAP. Ini adalah fenomena baru dalam sejarah politik tanahair. Seperti yang kita lihat dalam PRU 2008, ketiga-tiga parti ini boleh mencapai persefahaman mengenai isu kerusi, calon, dasar dan mampu mengatasi pelbagai taktik yang diguna oleh BN untuk memecahbelahkan mereka, “kata Zaid.
"Bagi saya ini adalah satu kekuatan. Ia memberi rangsangan kepada saya khususnya apabila saya melihat ahli-ahli parti bekerja bersungguh-sungguh untuk Pakatan Rakyat. Orang Cina tolong PAS kutip derma dan orang Cina bantu PKR. Dalam BN, masing-masing buat kerja masing-masing, tidak ada "team work" seumpama ini," jelas Zaid.
Zaid berkata beliau berharap dalam membantu memperkasakan jentera Pakatan Rakyat itu dengan “menguatkan hubungan ahli dan membina kapasiti dengan menggembeling kekuatan dalaman PKR, PAS dan DAP.”
“ Melalui cara ini kita mampu menghimpun kekuatan kita dan memperkuatkan keupayaaan jentera parti. Saya amat yakin Pakatan Rakyat mempunyai potensi yang besar,” tambah Zaid.
Beliau berkata PKR mempunyai keupayaan berlipat ganda untuk muncul sebagai gagasan yang menawarkan harapan politik baru kepada rakyat Malaysia.
“Jika kita boleh memperkukuhkan kerjasama yang sedia ada, PKR, PAS dan DAP akan lebih kuat , sehingga 1+1+1 jadi 6 bukan 1+1+1 jadi 3," tambah Zaid.
Menyentuh mengenai beberapa pindaan penting dalam perlembagaan PKR yang diluluskan oleh perwakilan parti baru-baru ini bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu menyambut baik langkah yang dianggap memperkasakan ahli pada peringkat akar umbi.
"Memperkasakan ahli adalah penting kerana apabila ahli merasa mereka ada peranan dalam memilih pucuk pimpinan parti maka mereka terdorong untuk bekerja lebih kuat sebab undi mereka akan menentukan masa depan parti dan negara," ujar beliau.
-TVAntara.com.my-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan