Penulis Khas | |
Penghinaan terhadap Islam bukanlah perkara baharu dalam sejarah tamadun manusia. Ia telah berlangsung sejak kali pertama Allah SWT memerintah iblis untuk sujud kepada Adam yang enggan berbuat demikian kerana merasakan bahawa dirinya lebih mulia daripada Adam, malah sudah lebih lama wujud daripada Adam ribuan tahun sebelumnya. Siri penentangan terhadap tidak berakhir di situ, malah ia diteruskan dengan beberapa siri lain yang berlaku terhadap umat para anbiya yang tidak dapat menerima kebenaran yang dibawa oleh nabi masing-masing. Ia disebabkan ada dalam hati mereka rasa tidak setuju dengan apa yang dibawa kerana mendakwa mereka pun cerdik seperti nabi-nabi. Justeru, Allah SWT menegaskan dalam al-Quran menerusi ayat 112 surah al-An'am maksudnya: "Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan yang kufur dan dusta) itu." Jelas daripada apa yang ditegaskan Allah dalam ayat tersebut di atas, bahawa kalau terdapat di kalangan nabi-nabi itu syaitan berupa manusia, yang kerjanya untuk menyesatkan sekalian manusia, maka ia juga terdapat di kalangan manusia pada hari ini yang berusaha untuk menyesatkan manusia dengan kata-kata indah melalui tulisan, pembentangan kertas-kertas kerja dalam seminar, penyampaian dalam majlis-majlis dialog dan sebagainya. Pada hal ciri-ciri syaitan ada pada mereka, bagi yang mengenal Islam dengan baik sahaja yang dapat mengelakkan diri daripada terperangkap dengan kata-kata indah tersebut. Pada awal abad ke-21, masyarakat Islam dikejutkan dengan kemunculan penulis dan individu yang diyakini telah cuba menulis atau membuat kenyataan secara sedar, jelas dan berterusan dengan niat dan tindakan untuk menghina Islam. Mereka cuba memberi gambaran Islam yang salah dengan mengikuti pandangan peribadi mereka semata-mata tanpa dirujuk kepada asas-asas kaedah dan disiplin ilmu pentafsiran al-Quran dan Al-Hadis yang betul daripada persepakatan ulama yang muktabar (yang diterima pakai dan tidak dipertikai oleh seluruh ulama). Maka berlakulah penyimpangan gambaran Islam sebenar hingga lahir aliran atau fahaman sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan berpolitik dan bermasyarakat. Seolah-olah Islam tiada hubungan dengan persoalan kehidupan Muslim, iaitu agama individu adalah Islam, tetapi kalau cara berfikirnya tidak Islam tidak menjadi masalah. Inilah pandangan sekularisme yang dipelopori oleh Mustafa Kamal Ataturk di Turki yang menjadi tali barut Inggeris bagi menjatuhkan empayar Uthmaniyah. Kalau benar kenyataannya itu, apa perlu untuk mengguling pemerintahan Islam Uthmaniyah, biarkan Sultan Abdul Hamid memerintah negara dengan Islam, sistem politik sahaja yang perlu ditukar kepada sekularisme, tetapi itu tidak akan berlaku, kerana sekularisme mempunyai agenda tersendiri bagi meraih sokongan pihak tertentu untuk menguasai negara. Percubaan pihak tertentu yang sewenang-wenangnya mahu menjadikan Islam dan hukum-hukum syariat Islam sebagai suatu perdebatan yang bebas mengikut sesuka hati dan mengenepikan asas-asas kaedah dan disiplin ilmu yang betul dalam Islam. Antara kenyataan yang ditulis dan siar oleh penulis dan badan-badan yang menyebut Islam boleh ditafsir oleh sesiapa contohnya: 1. Pandangan oleh Zainah Anwar, Pengarah Eksekutif Sisters in Islam: "Islam bukanlah milik individu atau mana-mana golongan yang mendakwa mereka sebagai ulama. Oleh itu, sebarang pentafsiran terhadap sumber-sumber Islam seperti al-Quran bukanlah milik para ulama semata-mata." (Utusan Malaysia, 26 September 2000) 2. Pandanan Dr Kassim Ahmad, penulis dan penganalisis bebas: "Semua umat Islam perlu kembali kepada asas-asas Islam dengan menolak tafsiran klasik (lama) yang telah ketinggalan zaman�Kepada umat Islam, kita mnyeru supaya digerakkan usaha-usaha membuat tafsiran al-Quran berdasarkan kaedah saintifik." (New Straits Times, 12 Oktober 2000) Situasi begini bukan sahaja merosakkan imej kesucian Islam, malahan menimbulkan kekeliruan yang bahaya di kalangan masyarakat awam khususnya masyarakat Islam di negara ini. Jika agama Islam dibiarkan didebat secara bebas seperti yang ditulis oleh pihak tertentu tanpa mengikut disiplin ilmu-ilmu Islam yang betul maka kewibaan seluruh institusi-institusi Islam di negara ini akan terdedah kepada cercaan dan penghinaan. - lanh -harakahdaily- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan