Harakahdaily | |||
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Sebagai parti yang mempertahankan dan memperjuangkan Islam dan umatnya, Parti Islam SeMalaysia (PAS) menggesa Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang baru saja mengadakan lawatannya ke China, menjelaskan secara terperinci situasi umat Islam yang berada di Wilayah Xinjiang, khususnya di kawasan Urumqi. Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata perkembangan di China yang membabitkan pergeseran sengit antara kaum Han dan Uighur yang majoritinya beragama Islam di Wilayah Xinjiang, China, sehingga beratus orang terkorban dan lebih seribu orang ditangkap oleh pihak berkuasa China sungguh membimbangkan. "Pada masa yang sama kita minta PM memaklumkan keadaan keselamatan masyarakat Islam Malaysia yang menetap di sana, sekiranya ada," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily. Kata Ahli Parlimen Bachok itu selaras dengan lawatan rasmi Perdana Menteri ke China pada bulan Jun lalu dengan maksud memperluaskan hubungan Malaysia-China, menyambung tradisi yang pernah dilakukan oleh Allahyraham Tun Abdul Razak sebelum ini, Najib bertanggungjawab memberikan penjelasan di Parlimen jika boleh, rusuhan yang telah membunuh dan mencederakan umat Islam di Xinjiang yang mendukacitakan umat Islam di seluruh dunia. "Sehubungan itu, kerajaan perlu menilai semula hubungan diplomatiknya dengan China jika China tidak dapat menjelaskan kedudukan yang sebenarnya termasuklah memanggil Duta China untuk memberikan penjelasan kepada Kerajaan dan rakyat Malaysia," katanya Konsep "One Malaysia" Dato Seri Najib yang menghimpunkan pelbagai kaum dan agama di Malaysia tidak akan menjadi realiti dan hanya retorik politik sahaja jika beliau tidak dapat memberikan gambaran sebenar apa yang sedang berlaku di Xinjiang pada masa kini, katanya. Menurut laporan agensi berita pergaduhan kaum antara minoriti Islam Uighur dan etnik Han di Xinjiang, China, semakin terkawal semalam walaupun keadaan di wilayah itu masih tegang. Kekacauan di bandar Urumqi tercetus apabila beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Rakyat untuk membantah kematian beberapa pekerja di kilang Uighur dalam rusuhan pada 25 Jun lalu. Seramai 156 terbunuh dalam pergaduhan tersebut dan etnik Uighur telah lama mendakwa mereka ketinggalan dalam bidang ekonomi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan