"GMI mendesak kerajaan mengesahkan tangkapan terbaru ini," kata seorang penyelarasnya E Nalini hari ini.
Menurut NGO tersebut, mereka yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 25 Jun bernama Sulaiman Bukhari, Latif Omar dan seorang lagi yang dikenali Samsudin.
Bagaimanapun GMI sendiri tidak dapat mengesahkan maklumatini.
Ia malah mengecam kerajaan yang terus-menerus menggunakan ISA walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berjanji untuk memulakan semakan terhadap akta kontroversi itu, sejak April lalu.
"Kerahsiaan dan amalan sewenang-wenangnya yang menyelubungi penggunaan ISA bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan, kebenaran dan ketelusan," kata Nalini lagi dalam satu kenyataan.
"Ia menonjolkan belang sebenar ISA yang digunakan sangat sewenang-wenangnya dan tidak kena-mengena dengan keselamatan negara.
"Ia mengesahkan lagi bahawa ISA hanyalah alat politik untuk menutup mulut penentang dan pengkritik kerajaan."
Pada 27 Mei lalu, ketua JI Singapura, Mas Selamat Kastari ditahan dua tahun bawah ISA selepas diberkas di Johor Bahru, awal April lepas.
Mas Selamat meloloskan diri dari penjara berkawalan ketat republik pada Februari tahun lepas dan kemudian dipercayai berenang menyeberangi Selat Teberau ke bandar raya itu sebelum disambut Abdul Matin Anol Rahmat dan Johar Hassan.
Abdul Matin ditahan 1 April lalu, dipercayai bersama Mas Selamat.
Abdul Matin kini ditahan selama dua tahun, sementara Johar - yang menyewakan rumahnya di Skudai kepada Mas Selamat - dikenakan perintah kediaman terhad.
Sementara itu, GMI akan mula menyebarkan risalah esok bagi menggerakkan kempen membantah akta itu dalam satu perhimpunan besar di ibu negara, 1 Ogos depan.
Ahli jawatankuasa pusat PAS Mohamad Sabu, yang turut serta dalam sekretariat GMI, akan mengadakan sidang media jam 2 petang di depan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur sebelum mengedarkan risalah berkenaan.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan