Kes Teoh: 'Saya akan besarkan anak kami'

Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Jodoh pertemuan dan ajal maut semuanya di tangan Tuhan.

Itulah hakikat pahit yang perlu ditelan oleh Soh Sher Wei, 28, bakal isteri Teoh Beng Hock yang mati secara tragis semalam.

Pasangan itu merancang mendaftarkan perkahwinan mereka hari ini sebelum melangsungkan perkahwinan mereka pada Oktober.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, exco pembangunan kampung baru Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun Soh
(foto, baju putih) masih beruntung kerana zuriat mereka berdua masih ada dan bertekad akan melahirkannya, kini berusia dua bulan, lapor laman web China Press hari ini.

Bercakap kepada akhbar itu pagi ini di hospital Kelang - tempat bedah siasat mayat Teoh dijalankan - guru di Semenyih itu berkata tunangnya mengetahui kehamilannya.

Menurut akhbar yang sama, beberapa teman Teoh sukar menerima kemungkinan mendiang membunuh diri kerana, pada pagi Rabu, bekas wartawan itu menghubungi mereka dan mengundang ke majlis persandingannya.

Panggilan itu dibuat beberapa jam sebelum diminta hadir di pejabat SPRM kira-kira 6 petang bagi memberi keterangan sebagai saksi siasatan kes salah guna wang peruntukan DUN -

Teoh, yang berasal dari Alor Gajah, Melaka, bertanya kepada rakan-rakan yang dihubunginya sama ada mereka akan memeriahkan saat-saat manis beliau mengakhiri zaman bujangnya.

Seorang rakannya, yang tidak sempat menjawab panggilan tersebut, dilaporkan berasa kesal atas kesempatan terakhir itu. Rakan itu juga sukar menerima kemungkinan pemuda ini mati membunuh diri.

Sementara itu laman web akhbar
Guang Ming Daily hari ini pula melaporkan ibunya Chong Saw Huay, 56, menangis tidak henti-henti sejak menerima berita tragis itu petang semalam.

Setiap kali melihat gambar anaknya, yang terbaring kaku, di dada akhbar, ibunya dilaporkan akan menangis sementara menunggu mayatnya dibawa pulang ke pangkuannya.

Mayat mendiang dijangkan akan disemadikan di Alor Gajah, 11 pagi Isnin ini.

Wanita itu semalam dilaporkan pengsan sewaktu menerima panggilan telefon daripada seorang pembantu exco kanan Selangor, Teresa Kok.

Bercakap kepada akhbar itu di rumahnya hari ini, Chong berkata anaknya itu bersama Soh, berasal dari Batu Pahat, sepatutnya pulang ke Alor Gajah untuk menguruskan majlis perkahwinan mereka yang dirancang 3 Oktober ini - bersempena Pesta Tanglung.

Pasangan juga merancang akan mencuba pakaian pengantin hari ini.

Dewan untuk melangsungkan majlis tersebut dan makanan telah ditempah, Chong dilaporkan berkata lagi.

Dalam perkembangan berkaitan,
Guang Ming Daily juga melaporkan bapa mendiang Teoh Liang Fai, 61, sanggup menerima anak yang bakal dilahirkan Soh walaupun hanya mengetahui kehamilan itu hari ini.

Hamil sebelum perkahwinan "perkara biasa, tolong jangan pandang serong," pemandu teksi itu dipetik berkata.

Beliau juga bersedia meletakkan nama Soh sebagai "isteri" di iklan belasungkawa di akhbar.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan