Mansuhkan ISA: Dosa ISA musnahkan institusi keluarga

Norlaila Othman
Fri | Jul 31, 09

"PUAN Laila, sepupu saya juga pernah ditahan di bawah ISA. Kasihan pada anak isterinya ...," kata Puan J dalam nada suara yang amat perlahan, separuh sebak, air mukanya kelihatan keruh.

Dalam siri jelajah perkongsian mangsa ISA, saya berkesempatan bertemu wanita-wanita yang tinggal di pedalaman Kedah, Johor dan Pahang. Rupa-rupanya ramai lagi rakyat Malaysia yang pernah ditahan di bawah ISA, tetapi penahanan itu tidak direkodkan kerana pelbagai sebab antaranya, tahanan tidak mahu menghebohkan penahanan itu, mungkin kerana mematuhi arahan pegawai penyiasat cawangan khas dan mungkin juga rasa malu kerana ditahan di bawah ISA yang amat ditakuti oleh rakyat Malaysia.

Bicarakanlah dia ...

"Kenapa saya tidak pernah jemu memberitahu supaya Abah Suhaib dibicarakan? Kerana saya mahu ada pendakwaan oleh pendakwa raya, bukti-bukti dikeluarkan selari dengan tuduhan dan akhirnya, hakim yang membuat keputusan di mahkamah itu. Jika hakim menyatakan beliau tidak bersalah, nama baik beliau dapat dibersihkan.

"Namun jika beliau bersalah dan terpaksa menjalani hukuman, sekurang-kurannya saya tahu tarikh akhir pemenjaraannya dan beliau sendiri tahu tarikh tetap untuk keluar daripada kehidupan sebagai seorang banduan," kataku kepada semua yang hadir ke sesi perkongsian itu.

Semua tahanan ISA dinafikan proses mahkamah dan mereka tidak pernah mengetahui tarikh akhir berada di Kem Kamunting. Kehidupan mereka berada dalam keadaan tidak pasti sepanjang masa.

Bezanya ISA dengan akta lain ialah, dalam ISA seseorang pesalah itu tidak dibenarkan mendapatkan peguam untuk mewakili dirinya, tiada pendakwaan oleh pendakwa raya, tahanan tidak boleh diikat jamin, tiada bukti yang dikeluarkan selari dengan tuduhan, tiada proses perbicaraan, tiada hakim dan tiada mahkamah yang menjadi tempat segala proses perbicaraan.

Peguam bela, pendakwa raya, bukti-bukti, hakim dan mahkamah semuanya berada di tangan Menteri Dalam Negeri yang kuasanya terlalu besar. Menteri ini pula biasanya tidak tahu apa-apa mengenai mangsa ISA. Menteri Dalam Negeri bebas menjatuhkan hukuman melanjutkan penahanan setelah mendapat laporan daripada polis cawangan khas (Special Branch).

Wanita adalah mangsa utama ISA

"ISA sebenarnya bukan saja akta zalim tetapi juga akta yang menindas golongan wanita kerana mereka (isteri)lah yang akan menerima kesannya ketika suami tiada di rumah.

Perasaan isteri amat tertekan dengan penahanan suami, namun terpaksa juga keluar mencari nafkah untuk menyara anak-anak dan meladeni mereka yang pastinya akan bertanya setiap hari, bilakah ayah mereka akan pulang ke rumah.

"Selain menjalankan kewajipan menguruskan anak-anak, wanita malang ini juga terpaksa bersusah payah membawa anak-anak bermusafir beratus-ratus kilometer dari tempat tinggal mereka ke Kem Kamunting.

"Di Kem Kamunting, mereka kemudian terpaksa melalui pemeriksaan di tiga pintu utama dan berpuas hati dengan pertemuan selama 45 minit ...," kata saya lagi.

Tiada siapa yang akan menyangkal dakwaan ini, hatta Menteri Dalam Negeri sekalipun kerana saya sudah mengalaminya lebih tujuh tahun ... dan hingga saat ini, saya masih didiskriminasikan dalam setiap perjumpaan.

Dari tahun 2002 hingga kini, saya dan Suhaib hanya dapat bertemu Mat Sah @ Abah Suhaib selama 45 minit saja. Walaupun beliau, iaitu Abah Suhaib telah ditahan lebih tujuh tahun, tiada sebarang tanda simpati pihak kem kepada kami berdua.

Sewaktu tahanan Hindraf belum dibebaskan, mereka berpeluang bertemu di tempat terbuka antara sejam setengah hinggalah dua jam. Mereka boleh bersalam, bersentuhan dan boleh makan bersama.

Begitu juga dengan tahanan ISA yang dituduh sebagai ahli 'Jemaah Islamiyyah' (JI) yang ditahan selama dua tahun di kem, mereka dan isteri serta anak-anak dapat bertemu di tempat terbuka selama sejam setengah, suami dapat bersalam dengan isteri dan anak-anak serta berpeluang makan bersama.

Tetapi aku dan Suhaib, walaupun status kami dengan tahanan JI lain serta Hindraf adalah sama iaitu sebagai tahanan ISA, kami tetap dianak-tirikan oleh pengurusan kem yang sering berselindung di sebalik kata-kata, "kami hanya mengikut arahan orang atas".

Derita tujuh tahun ...

"Jika puan mahu suami segera dibebaskan, tulislah surat pada Tuan Ayub dengan segera. Tuan Ayub adalah pegawai tertinggi SB yang menjaga semua tahanan ISA. Puan tulislah surat dan merayu pada Tuan Ayub bahawa puan dan suami memang benar-benar bersalah dan mohon dimaafkan segala kesalahan itu.

"Dengan permohonan maaf tersebut, rasanya hati Tuan Ayub akan lembut dan akan segera memberi cadangan supaya Mat Sah dibebaskan," kata seorang SB kepada saya.

"Saya mohon maaf dan mengaku bersalah? Apa yang telah saya lakukan? Orang yang ditahan di bawah ISA ialah suami, kenapa saya pula yang kena mohon maaf bagi pehak dia?" saya bertanya semula pada SB tersebut.

Abah Suhaib ditahan lebih tujuh tahun, tidak pernah dibicarakan dan kini, untuk melihat dia bebas, saya pula yang terpaksa menulis surat memohon maaf. Tujuh tahun Suhaib membesar tanpa bapa.

Tujuh tahun kami berdua terpaksa menerima herdikan pihak tertentu yang tidak memahami ISA. Tujuh tahun Suhaib membesar tanpa sebarang nafkah, kasih sayang, bimbingan dan perhatian daripada bapanya.

Sepanjang tujuh tahun itu, apabila mata Abah Suhaib rabun, sayalah yang terpaksa mengeluarkan duit untuk membeli cermin mata baru.

Ketika lutut beliau terseliuh ketika bermain, saya juga yang terpaksa membelikan 'braces' yang agak mahal untuk digunakan di lutut yang cedera itu.

Apabila gigi beliau rosak dan perlu dibuang, saya juga terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli gigi palsu.

Dan setiap bulan, saya juga terpaksa memberi wang poket supaya beliau berpeluang untuk membeli makanan selain daripada yang disediakan oleh Kemta seperti biskut kering, gula-gula dan kacang. Abah Suhaib juga punya keinginan untuk membaca majalah dan buku-buku dari luar. Sayalah juga yang menyediakan segala keperluan itu.

Ketika ditahan di bawah ISA pada tahun 2002 dulu, beliau dikatakan bersalah kerana menjadi ahli JI, dan kini, setelah tujuh tahun, saya pula yang terpaksa menulis surat mohon maaf kepada SB sekiranya saya ingin melihat beliau kembali ke pangkuan keluarga.

Saya terpinggir

"Nama saya Suhaib. Kini saya berusia 16 tahun. Hampir separuh usia saya membesar tanpa abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan pertemuan selama satu jam setengah dalam sebulan. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kiriman beliau.

"Jika terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju dan guna kain pelikat milik abah. Saya letak gambar Abah di dompet duit. Sejak berusia 9 tahun, saya tidak pernah solat dan baca Quran bersama Abah. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama.

"Namun, satu perkara yang amat memedihkan ialah apabila saya melihat Abah di sebalik cermin kaca. Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca.

"Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya ... hatiku memang pedih yang teramat sangat. Walaupun sudah tujuh tahun saya dipisahkan daripada Abah, tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan.

"Walaupun ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di media dan akhbar, namun Abahku masih dinafikan pembebasannya. Saya yakin Allah sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk Abah kerana dia terus menerus dizalimi.

"Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa terpinggir. Saya juga ingin meneruskan kehidupan sama seperti orang lain yang punya keluarga yang lengkap. Saya tetap berdoa supaya Abah segera dibebaskan ..."

Saya benar-benar tersentak dengan testimoni Suhaib yang ingin diluahkan di hadapan Vijay, salah seorang wartawan Malaysiakini. Suhaib kelihatan tenang dan bersahaja namun tidak disangka, luahan hati beliau amat pilu untuk dibaca ...

Ikutilah jalan Allah

Allah mencipta kita sebagai insan yang bebas dan merdeka. Allah telah menurunkan al-Quran dan mengutus rasul serta nabi untuk dijadikan contoh supaya menjalani kehidupan yang sempurna. Allah telah menggariskan supaya manusia menjadikan keadilan sebagai neraca hidup dan mengelakkan menzalimi sesama manusia.

Tetapi ... kenapa mesti ada peraturan buatan manusia yang menafikan hak dan kebebasan manusia lain sampai begitu rupa? Lupakah kita pada satu ayat 113 dalam Surah Huud yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim ..."

Ingatlah pada ayat 58 dari Surah An-Nisa yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum sesama manusia agar menetapkan dengan adil ..."

Allah menyediakan syurga dan neraka sebagai hadiah dan pembalasan kepada makhluk ciptaan-Nya, namun sebelum seseorang itu dihantar ke syurga atau neraka, semua makhluk akan melalui proses perbicaraan di padang Mahsyar.

Allah Maha Besar, Maha Kuasa, Maha Pencipta, Maha Mengetahui, menyediakan 'trial' atau perbicaraan ke atas semua makhluknya di akhirat nanti. Kenapa ISA , akta tahan tanpa bicara masih dihalalkan? Siapakah yang menjadi ikutan? Allah ataupun syaitan?

Kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan bencikan kezaliman, marilah sama-sama serlahkan perasaan itu dengan menghadiri himpunan aman MANSUH pada 1 ogos nanti.

Pada sesiapa yang tidak dapat menghadiri kerana ada sebab-sebab peribadi, cubalah juga luahkan dalam bentuk lain seperti mengibarkan bendera separuh tiang, berpakaian hitam ketika keluar rumah dan sebagainya.

MANSUHKAN ISA, BEBASKAN TAHANAN ISA dan TUTUP KEM KAMUNTING!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan