Mansuhkan ISA: GMI yakin 50,000 hadiri perhimpunan Sabtu ini

Tinggal dua hari lagi sebelum perhimpunan besar anti-ISA, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yakin mendapat sokongan sekurang-kurangnya 50,000 penunjuk perasaan bagi menyatakan bantahan mereka.

"Berdasarkan maklumbalas yang kita terima, sekurang-kurangnya 50,000 orang," kata ahli jawatankuasanya Norlaila Othman ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Norlaila yang juga isteri bekas tahanan ISA - Mat Sah Mohamad Satray - berkata, perhimpunan anti-ISA itu dijangka mendapat lonjakan sokongan ekoran kematian misteri Teoh Beng Hock baru-baru ini.

"Setakat ini kita dapat sambutan baik, antaranya melalui maklumbalas daripada ceramah-ceramah," kata Norlaila.

Sementara itu, Norlaila berkata, pihaknya kini mengambil langkah berjaga-jaga untuk berdepan dengan kemungkinan pihak berkenaan mengambil tindakan awal bagi menggagalkan perhimpunan anti-ISA Sabtu ini.

"Kita berjaga-jaga sekarang. Kita tidak tolak kemungkinan itu," tambahnya.

Norlaila berkata, gabungan itu dijadual menghantar surat kepada pihak polis hari ini, bagi memaklumkan mengenai perhimpunan Sabtu ini.

Mengenai "Deklarasi Rakyat" menentang akta itu - yang akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong - beliau berkata, ia akan diedarkan kepada media pada pagi Sabtu ini.

Sabtu ini, kumpulan anti-ISA merancang bergerak mulai jam 2 petang dari tiga lokasi - kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara - dengan berpakaian hitam dan merah - sebelum bergerak ke Isntana Negara.

Sementara pada masa yang sama, kumpulan pro-ISA pimpinan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) - berpakaian putih - akan berkumpul di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok, sebelah Bank Negara, sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Di sana, mereka akan menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki dan berarak ke Istana Negara.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan