Mansuhkan ISA: Kesal Mufti Perak tidak haramkan ISA

Johari Jaafar

IPOH, 31 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kecewa dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana masih tidak menolak bahawa perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah digubal pada tahun 1960 dan yang masih dijalankan selama 49 tahun adalah lebih zalim dan perlu diharamkan.

Demikian ditegaskan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamarudin dalam kenyataan media Pemuda PAS Perak hari ini.

Menurutnya, Pemuda PAS mencabar Tan Sri Harussani dan juga Majlis Fatwa Kebangsaan serta Mufti seluruh negeri supaya mengeluarkan fatwa tentang Akta ISA ini yang telah banyak menzalimi rakyat kerana telah menghukum tanpa membicarakannya dan ianya salah disisi Agama Islam.

"Persoalan yang sepatutnya timbul adalah kezaliman Akta ISA yang telah diamalkan itu, bukannya membantah Akta ISA itu sebagai yang haram, perkara yang penting sekarang ini adalah mengapa kezaliman ini masih diteruskan?," jelasnya.

Pemuda PAS Negeri Perak katanya ingin mempertegaskan di sini bahawa usaha untuk menghapuskan kezaliman mesti ditegakkan, himpunan sebagai protes untuk memastikan seluruh rakyat akan hidup aman tanpa kezaliman yang telah dibuat oleh kerajaan akan diselamatkan.

Oleh itu kata Akmal, Pemuda PAS Perak menyeru seluruh rakyat yang membantah kezaliman mesti tampil untuk nyatakan kebenaran kerana menyahut seruan Nabi SAW "Jihad yang paling afdhal ialah perkataan benar di hadapan pemerintah yang zalim" bukan perkataan yang berani di hadapan rakyat yang ditindas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan