Mat Zain Mat Isa | |
GERHANA matahari yang menyelubungi sebahagian mukabumi pada Rabu (22 Julai) dihitung sebagai yang paling lama dalam abad ini. Ia dapat dilihat secara maksimum selama enam minit dan 39 saat di beberapa bahagian dunia, terutama sekitar India, China dan Jepun. Menurut rekod pakar kaji bintang, kali terakhir berlakunya gerhana penuh sebelum ini ialah pada Ogos 2008. Kejadian itu dapat dilihat selama dua minit dan 27 saat. Ada pun di rantau sekitar negara kita gerhana matahari yang berlaku kali ini hanya separa dan dapat dilihat secara minimum sahaja. Ia memang sukar dicerap dengan mata kasar memandangkan hanya tidak sampai 18 peratus permukaan matahari dilindungi bulan. Sementara penduduk dunia lebih cenderung membicarakan gerhana matahari sebagai fenomena astronomi dan keganjilan alam, agama Islam pula mengajar umatnya menjadikan kejadian yang amat jarang berlaku itu sebagai peluang manusia mengagumi qudrat (kekuasaan) dan iradat (kehendak) Yang Maha Menjadikan. Di dalam al-Quran, Allah Ta'ala beberapa kali menyebut tentang kekuasaannya ke atas kejadian langit, bumi dan apa juga yang ada di antara kedua-duanya. Tidak ada seinci pun dari alam cakerawala ini yang bebas dari jajahan takluk Allah, termasuk bulan, bintang dan matahari. Al-Quran juga memperincikan tabiat bulan dan matahari yang masing-masing beredar di atas paksi tersendiri. Kedua-dua makhluk itu tunduk dan patuh kepada ketentuan Allah. Antaranya sebagaimana firmanNya dalam Surah Yaasin 36: 38-40: "Dan (sebahagian dari dalil kekuasaan Allah ialah) matahari. Ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya. Itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui. "Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. "(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing." Menginsafi betapa setiap kejadian di alam ini adalah tanda dan bukti kekuasaan Allah, maka Islam menganjurkan cara tersendiri untuk umatnya menyambut kehadiran gerhana, sama ada matahari atau bulan. Kita digesa berkumpul mendirikan solat khusus sempena gerhana. Di kalangan orang-orang tua dulu, mereka ada cara tersendiri untuk menafsirkan setiap kali kejadian gerhana, sama ada matahari atau bulan. Mereka membahasakan gerhana bulan itu sebagai "bulan sakit", manakala gerhana matahari sebagai "matahari marah" atau "matahari menangis". Ketuk batang pokok Ada pula berbagai upacara dibuat sewaktu melihat gerhana yang entah diceduk dari ajaran kitab atau agama mana. Antaranya ialah mengetuk batang pokok yang tidak mahu berbuah. Kononnya ketukan itu dapat membuang sifat malas berbuah yang mendiami pokok itu. Baca selanjutnya:- http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21867&Itemid=1 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan