Wan Nordin Wan Yaacob | |
SEREMBAN, 27 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar membidas sikap media yang memanipulai kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Azizi Nik Mat berhubung muafakat kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Menurut Mahfuz, Tok Guru hanya menyatakan bersedia mengeratkan kerjasama dan berlapang dada bagi memperbaiki hubungan kerajaan negeri dan pusat. Sebaliknya, media dan pemimpin Umno membuat tafsiran yang salah dan memainkan isu kononnya ia antara parti, walhal mengikut Tok Guru kerjasama itu hanya membabitkan kerajaan negeri dan pusat. Ia katanya adalah untuk mendapatkan hak yang telah disekat oleh kerajaan pusat sejak memerintah Kelantan 20 tahun lalu. Mahfuz berkata demikian hari ini mengulas kenyataan beberapa pimpinan Umno yang memainkan isu kononnya PAS mahu bincang kerjasama atau muafakat dengan Umno. "Lebih-lebih lagi selepas sejak tahun 1990 (sejak PAS memerintah Kelantan), kerajaan Umno/BN telah mendiskriminasi kerajaan PAS di sana.Kini ia diteruskan lagi dengan penafian royalti minyak kepada Kelantan.Begitu juga kepada kerajaan Pakatan Rakyat lain di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor," katanya. Kerajaan pusat melakukan penindasan ke atas kerajaan negeri, geran bantuan tahunan tidak pernah dapat tepat pada masanya berbanding negeri yang dikuasai Umno/BN, katanya. Malah, bantuan pembangunan pula disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan yang mengambilalih tugas kerajaan negeri, ujarnya. Bagi Mahfuz, sepatutnya kerajaan Umno/BN yang memerintah di persekutuan tidak melakukan hal sedemikian, kerana ianya hak kerajaan negeri yang telah dipilih oleh rakyat. Mahfuz juga melihat, isu ini sengaja diputarbelitkan oleh media dan pemimpin Umno hanya untuk memberi gambaran buruk kepada PAS yang kononnya mahu buat kerjasama dengan Umno. Walhal, Umno kini menuju kepada kehancuran tatkala parti itu berhadapan dengan masalah, media pro Umno memainkan peranan memecahbelahkan Pakatan Rakyat, ujarnya. Isu itu juga sengaja diheret bagi menggambarkan kononnya PAS setuju dengan kerajaan perpaduan, walhal dalam Retreat di Kedah baru-baru ini, Presiden PAS sendiri telah menegaskan bahawa isu kerajaan perpaduan sudah selesai. Justeru, Mahfuz menyeru ahli dan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat agar tidak terpengaruh dengan permainan media ini yang hanya untuk memburukkan PAS. Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Umno memandang positif kesediaan Dato' Nik Aziz Nik Mat untuk melupakan sengketa politik kedua-dua parti demi perpaduan rakyat dan akan membincangkannya secara terperinci dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Jumaat ini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan