UBN Najib Altantuya: Semua kaum ratapi kematian Teoh

Mohamad Sabu
Wed | Jul 29, 09

Membandingkan unsur kebudayaan, agama dan sensitiviti antara kaum-kaum di Malaysia bukanlah bertujuan untuk menimbulkan sifat perkauman. Ia sekadar satu pandangan ringkas tentang sensitiviti kaum di Malaysia di mana setiap kaum, sama ada Melayu, Cina, India atau suku kaum lain sentiasa ada daya deria sensitiviti mereka.

Dalam memperjuangkan hak asasi kemanusiaan misalnya, nampak kaum Cina lebih mendahului kaum-kaum lain, mengikut kaca mata perbandingan biasa yang boleh dilihat.

Apabila pihak polis cuba meleraikan perhimpunan rakyat ceramah Bersih di Batu Burok, Kuala Terengganu, peluru hidup digunakan untuk menembak orang ramai. Dua orang mengalami cedera parah dan terpaksa dimasukkan ke ICU Hospital Kuala Terengganu dan kemudiannya dipindahkan ke ICU Hospital Kubang Kerian, Kelantan.

Peristiwa itu menimbulkan kemarahan sebahagian besar ahli PAS dan KeADILan. Bagaimanapun, secara umum, orang Melayu tidak marah di atas peristiwa Batu Burok itu. Orang Melayu terlalu tebal dengan semangat kepartian daripada melihat kepada semangat "bangsa". Kalau orang PAS yang terkena mala petaka, orang Umno rasa gembira dan tidak simpati, begitulah juga apabila orang Umno terkena malapetaka, orang PAS pula kurang simpati.

Peristiwa Batu Burok masih berlalu begitu sahaja melalui lipatan sejarah. Hanya kes mahkamah berjalan, tetapi rakyat jelata terutama orang Melayu melupai tindakan polis yang langsung tidak mengikut peraturan.

Peristiwa Memali yang mengorbankan 13 orang ahli dan penyokong PAS juga tidak menimbulkan sensitiviti orang Melayu secara umum. Dalam pilihan raya 1986, tidak sampai setahun selepas tragedi itu PAS hanya memenangi tiga kerusi Dun sahaja di Kedah. Secara umum orang Melayu-Umno sedikit pun tidak berubah sokongan kepada BN walaupun peristiwa kejam yang menimpa penduduk Memali dilakukan kerajaan BN.

Reaksi terhadap peristiwa tembakan terhadap anak muda Melayu di Kg Kerinchi berdekatan bangunan RTM 20 tahun dahulu yang membawa kepada kematian, hanya Lee Lam Tye, wakil rakyat Kuala Lumpur Bandar waktu itu meraung terhadap kekejaman polis dan penyalahgunaan kuasa mereka. Secara umum orang-orang Melayu di Kuala Lumpur menganggap peristiwa itu sebagai satu takdir menimpa anak Melayu tersebut dengan keluhan, "Apa boleh buat, takdir dia nak mati dengan peluru."

Nilai dan perasaan orang Melayu terhadap peristiwa yang bersangkut paut dengan hak asasi manusia amat lemah dan merunsingkan.

Saya sedang bercuti di luar negara apabila Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Selangor terbunuh di Plaza Masalam, Shah Alam. Melalui internet, saya dapat melihat betapa secara umumnya orang China amat marah di atas peristiwa "pembunuhan" Teoh Beng Hock itu.

Tidak kira sama ada mereka dari DAP, MCA atau Gerakan, semuanya mencurahkan perasaan geram kepada SPRM dan kerajaan di atas peristiwa tragis itu. Perhimpunan segera dibuat dan pelbagai bentuk protes diatur untuk menuntut keadilan di atas kematian Beng Hock. Pihak kerajaan termasuk Perdana Menteri terpaksa bertindak di atas reaksi rakyat, khasnya dari kaum China.

Jam 6.00 pagi, 20 Julai, saya tiba di KLIA dan dimaklumkan bahawa mendiang Teoh Beng Hock akan dikebumikan di Semenyih. Bergegas saya dan rakan-rakan dari Shah Alam pergi ke sana untuk menyampaikan takziah dan penghormatan terakhir kepada keluarga mendiang.

Sementara kematian Kugan masih menjadi tanda tanya, tentang bagaimana dan punca kematian, kini peristiwa Beng Hock pula menghambat perasaan rakyat Malaysia. Apakah lokap polis dan lokap SPRM akan menjadi "killing field" kepada rakyat Malaysia masa kini dan akan datang.

Saya amat "nervous" melihat isu-isu mutakhir di Malaysia. Kewibawaan kerajaan sebagai penegak keadilan hilang dari pandangan rakyat, khasnya dari kaca mata orang China.

Rakyat Malaysia tidak kira kaum hendaklah melihat bahawa kezaliman yang berlaku kepada sesiapa pun mesti dibela, tanpa melihat dari sudut kaum atau agama. Soal hak asasi saksi termasuk hak orang yang dituduh, mesti dilindungi.

Saya amat gembira apabila peristiwa kematian Teo Beng Hock diratapi oleh semua kaum dan penganut pelbagai agama. Kezaliman dan kekejaman mesti dilihat secara syumul, merentasi hal kaum dan agama.

Apakah peristiwa seumpama yang menimpa Teo Beng Hock jika berlaku terhadap orang Melayu, maka sebahagian besar orang melayu akan berkata: "Apa boleh buat, ajalnya dengan jatuh bangunan, itu kehendak tuhan, takdir sudah begitu."

Orang Melayu dan rakyat Malaysia mesti lebih sensitif sekarang dan pada masa akan datang apabila soal hak asasi individu dinafikan, manakala mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa mesti ditentang. Insya Allah, akan lahir nanti masyarakat bertamadun di negara ini.

-harakahdaily.net-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan