DAP akan saman akhbar isu agama Islam

PULAU PINANG: DAP akan mengambil tindakan mahkamah terhadap syarikat media yang memfitnah pemimpin parti itu berhubung isu agama Islam sehingga mencetuskan kontroversi.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata tindakan itu perlu berikutan terdapat beberapa syarikat media terutama akhbar Utusan Malaysia yang cuba memfitnah pemimpin DAP membabitkan isu agama sehingga menimbulkan rasa kurang senang masyarakat di negara ini.

"Saya telah arahkan pemimpin-pemimpin DAP yang terlibat untuk mengambil tindakan segera dengan menyaman media yang telah menfitnah mereka.

"DAP ditomah dan mereka (media) kata kita telah hina Islam sedangkan pemimpin parti tidak pernah persendakan mana-mana agama termasuk agama Islam," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata DAP menghormati semua agama di negara ini.

"Kita tidak mahu panjangkan isu ini nanti lagi banyak kenyataan yang menfitnah DAP, jadi kita jumpa saja di mahkamah," katanya.

Sementara itu, Lim berkata kerajaan negeri mensasarkan dapat mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal kira-kira RM33 juta bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Ini berikutan kerajaan negeri telah menetapkan kadar baru bagi kontraktor yang terlibat dan ia merupakan satu penjimatan yang sangat besar, katanya tanpa menyatakan kadar berkenaan.

-BERNAMA-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan