Inkues Teoh: SPRM Dera Saksi - Gobind Singh Deo

Inkues kematian Teoh Beng Hock telah menguatkan dakwaan Pakatan rakyat dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan selama ini iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan penderaan fizikal dan mental ke atas saksi untuk mendapat keterangan.

Itu rumusan peguam Beng Hock, Gobind Singh Deo selepas 15 hari inkues siasatan itu berlangsung di Shah Alam.

" Saya ambil contoh apa yang berlaku pada hari ini, setelah 15 hari kami menyoal balas saksi-saksi dan saksi SPRM dan sebagainya, hari ini kita telah pun membuka laporan polis yang telah pun dibuat oleh saksi-saksi yang lain, yang mana mereka menyatakan yang mereka juga telah dibawa ke Plaza Masalam, tingkat 14 dan di situ mereka dibelasah. Didera secara psikologi dan juga fizikal".

Dalam temubual dengan TV Antara, Gobind berkata tidak ada siapa yang menduga ibu pejabat SPRM Selangor menyimpan seribu satu kisah yang mengerikan mengenai kaedah mendapatkan bukti terhadap mereka yang disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan wang.

" Kalau kita lihat dari segi set up, dia bawa kepada sebuah bangunan korporat, kita lihat dalam bangunan semua orang di dalamnya memakai suit, kita lihat ada sofa dan tv sebagainya, tidak ada sebarang orang yang akan fikir, tempat ini ada dibawa saksi dan mereka dibelasah. Bila kita sebagai suspek atau kita sebagai saksi pergi ke situ juga, memang di dalamnya tempat korporat, tidak ada sebarang perkara untuk kita takut. Walhal apa yang berlaku dan telah pun berlaku, apa yang saya nak cakap bukannya kita petik daripada udara, daripada laporan polis yang kita dapat, ramai yang telah dibawa ke situ" kata Gobind.

Beng Hock, seorang pembantu kepada exco kerajaan negeri, dijumpai mati pada 16 Julai lalu di perkarangan SPRM Selangor setelah dipanggil memberi keterangan terhadap majikannya mengenai dakwaan salah guna wang RM 2,400.

Beliau disoal siasat pada petang Rabu sebelum mayatnya dijumpai keesokan pagi.

Gobind kesal kerana sokongan pelbagai pihak terhadap penubuhan SPRM untuk membendung gejala rasuah dengan lebih berkesan akhirnya memberikan kesan sebaliknya.

" Apabila saya melihat Teoh Beng Hock khususnya mayat di situ, saya tertanya di dalam hati saya sebagai ahli parlimen, kita ini sokong MACC, apakah kita ini tahu fikir pada waktu itu sehingga ada orang yang didera" menurut Gobind.

Namun katanya lagi, beliau bersama-sama dengan Pakatan Rakyat akan terus berkerja keras dalam memastikan rakyat mengetahui hal sebenar di sebalik misteri kematian Beng Hock.

Beliau berharap keterangan saksi mengenai tekanan fizikal dan mental yang diguna terhadap mereka akan memaksa SPRM menghentikan penggunaan kekerasan sebegitu untuk mendapat bukti.

" Kita nak keluarkan kebenaran, kita nak semua orang tahu, kita nak SPRM tahu bahawa kita tahu, jadi jangan seolah-olah di dalam bilik ini semua orang tidak tahu apa yang berlaku. Kita nak bagitahu bahawa aduan dibuat, kita sedar dan you have to stop" tegas Gobind.

-tvantara.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan