Khalid diperintah bayar RM66j pada Bank Islam

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim membayar RM66 juta (AS$18.521 juta) kepada Bank Islam bagi pinjaman yang diambilnya pada tahun 2001 untuk membeli saham Guthrie Bhd.

Ia merupakan penghakiman ringkas (penghakiman yang dibuat tanpa perkara itu didengar dalam perbicaraan penuh) oleh Hakim Rohana Yusof dalam kamarnya.

Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman tersebut, sementara menunggu rayuan dibuat.

Ini bermakna Khalid tidak perlu membayar segera jumlah tersebut sehinggalah selesai semua proses rayuan.

Peguam Malik Imtiar Sarwar yang mewakili Khalid berkata, rayuan akan difailkan kerana beliau merasakan perkara itu harus didengar dalam perbicaraan penuh.

"Kita akan fail permohonan untuk penangguhan hukuman awal minggu depan," katanya.

Bank Islam diwakili oleh peguam Tommy Thomas. Bank menyaman Khalid pada 27 Mei 2007 kerana didakwa melanggar kontraknya kerana gagal membayar balik pinjaman AS$18.521 juta.

Rohana juga menetapkan 16 September untuk sebutan permohonan penangguhan hukuman serta untuk menetapkan tarikh bagi dakwaan balas Khalid.

Khalid telah memfailkan saman balas terhadap bank tersebut pada 18 Mei 2008.

-malaysiakini.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan