Nizar vs Zambry: Nizar teruskan tugas sebagai Presiden PAFA

Johari Jaafar

IPOH, 2 Ogos (Hrkh) - Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin akan meneruskan tugasnya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) demi menyempurnakan tanggungjawab membina skuad pasukan negeri bagi menghadapi Piala Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis PAFA di pejabat PAFA di sini.

Menurutnya adalah tidak adil untuk tidak bertanggungjawab dengan membiarkan skuad negeri yang telah menempah tiket kelayakan ke pertandingan Piala Malaysia.

Beliau berkeyakinan bahawa skuad yang dibentuk akhir tahun lepas itu berpotensi tinggi untuk maju lagi.

"Kita sedia maklum bahawa skuad tahun ini lewat dibentuk ekoran permasalahan dalaman PAFA (sebelum pengambilalihan akhir November 08) dan PAFA sendiri amat tenat ketika diambil alih dengan pelbagai masalah kewangan yang terkumpul hampir RM4.2 juta," katanya.

Beban hutang tanggungan PAFA ini terkumpul sejak beberapa tahun sebelum 2008 lagi dan ia diheret ke tahun 2009. Setakat tahun ini, PAFA hanya mampu memelihara agar hutang itu tidak bertambah dan tanggungan 2009 seperti gaji dan lain-lain mampu dilangsaikan bulan ke bulan, jelasnya.

Dalam keadaan sekarang memang tidak mengizinkan beliau untuk menyelesaikan bebanan hutang lapok itu tetapi berharap sekurang-kurangnya semua pihak tampil membantu kerana bola sepak adalah sukan rakyat.

Nizar dipilih menerajui PAFA setelah desakan pelbagai pihak termasuk oleh Paduka Seri Sultan Perak sendiri yang melihat pada ketika itu, hanyalah seorang ketua kerajaan negeri yang sesuai dan berkemampuan mengatasi kemelut PAFA.

Oleh kerana keadaan mendesak dan tiada pilihan, Nizar menyanggupi tanggungjawab berkenaan pada masa itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan