KEBANYAKAN remaja berusia 17 tahun tidak sabar menanti untuk dibenarkan memandu kereta, tetapi Chris Morgan mempunyai minat berbeza mengenai kereta.Dia suka menunjukkan kekuatan luar biasanya dengan mengangkat kenderaan itu. Dengan berat hampir satu tan, Ford Fiesta terlalu ringan bagi remaja itu yang baru-baru ini dimahkotakansebagai budak sekolah terkuat Britain.
Kereta Renault Clio seberat 1.3 tan milik seorang rakan lebih mencabar. Namun itu juga mampu diangkat oleh Chris walaupun untuk seketika. Dia menyifatkan kekuatannya sebagai ‘silap mata’.
Bagaimanapun, semua itu ada faedahnya apabila Morgan turut membantu mengemas dan membersihkan rumah mereka di Willenhall, Midlands Barat dengan mengangkat sofa dan almari setiap kali ibunya perlu membersihkan kawasan tersorok itu. Morgan, yang bakal menduduki peperiksaan A-level dengan mata pelajaran ekonomi, psikologi dan pendidikan jasmani di Sekolah Pool Hayes, mempunyai berat badan kira-kira 2.6 kilogram ketika lahir.
Dia menjadi peminat setia pertandingan Lelaki Paling Kuat Dunia sejak berusia lapan tahun dan menyaksikannya menerusi televisyen setiap Krismas. Rancangan itu mendorongnya pergi ke gimnasium ketika berusia 13 tahun. Dia memenangi kejuaraan pelajar sekolah paling kuat bulan lalu selepas berjaya mengatasi cabaran dalam enam acara, termasuk mengangkat tayar trak seberat 356 kilogram dan menarik tong bir seberat 114 kilogram sambil berlari di Kent, bulan lalu.
Morgan menolak semua jenis dadah dan steroid. Ibunya, Deborah, 46, kerani pejabat dan bapa, Ray, 49, yang bekerja di sebuah kilang tayar mula menyedari potensinya menerusi gambar Morgan dengan rakan sekolahnya ketika dia berusia 14 tahun. Deborah berkata: “Saya dapat melihat betapa besarnya dia berbanding rakannya dan ototnya yang begitu menonjol dalam pakaian sekolah. “Saya melihat dia membesar dari sehari ke sehari. Kami melihat dia menjalani senaman dan kami berbangga dengan pencapaiannya.”
Morgan berkata, kejayaannya dicapai hasil senaman dan amalan pemakanan terancang. Dia tidak pernah ponteng dalam menjalani senaman. “Jika anda mahu menjadi yang terbaik, anda perlu berusaha, lebih-lebih lagi dalam bidang sukan. Mental anda juga perlu kuat. Ia bukan seperti dalam bina badan yang memerlukan tubuh anda kelihatan menarik.” Morgan yang mengambil makanan sampingan creatine (untuk meningkatkan tahap tenaganya) dan glucosamine (untuk menguatkan sendinya) menyedari keupayaannya mengangkat kereta selepas seorang guru mencabarnya berbuat demikian pada hari sukan. Dia berhasrat untuk bertanding dalam sirkit lelaki kuat tahun depan dan menaruh harapan untuk memasuki pertandingan Lelaki Paling Kuat Dunia satu hari nanti.Juara pertandingan itu ketika ini ialah Mariusz Pudzianowski, 32, dari Poland yang digelar ‘Dominator’ atau ‘Super Mario’. Dengan ketinggian 185 sentimeter dan berat badan 127 kilogram, Pudzianowski memenangi kejuaraan itu lima kali berturut-turut.
-tkodaily.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan