Oleh MOHAMAD SABU
Pegawai kerajaan yang dilatih oleh British amat terkenal dengan kewibawaan dan integriti mereka. Setelah tamat berkhidmat dengan kerajaan, mereka hanya hidup dengan wang pencen dan harta yang dibina sedikit sebanyak daripada wang gaji bulanan. Kewibawaan Tan Sri Ahmad Nordin, Tan Sri Harun Hashim adalah di antara contoh kehidupan pegawai kerajaan sebelum dan selepas merdeka.
Sekarang kita boleh lihat kehidupan bekas pegawai kerajaan atau bekas pegawai polis, amat luar biasa daripada pendapatan yang mereka perolehi semasa bekerja atau semasa bersara. Apakah wang luar yang membolehkan mereka hidup begitu mewah, 'rich and famous', yang tidak sepadan dengan pendapatan mereka.
Sebahagian besar pegawai kerajaan atau pegawai polis yang setia dengan tugas dan tanpa wang luar tenggelam dengan sifat kehidupan dengan rakan-rakan mereka yang lain.
Tunku Abd Rahman dan pemimpin politik di zamannya amat benci dengan rasuah dan 'wang luar' dari gaji dan elaun mereka. Setelah bersara, mereka hidup dengan wang gratuiti dan pencen mereka. Walaupun kelemahan peribadi mereka ada, namun dalam hal rasuah dan 'wang luar' amat mereka jaga dan ia mengikut cara politik British dan Barat.
Kini orang politik - yang memegang jawatan penting sebagai menteri, menteri besar, ketua menteri, exco dan sebagainya - sebahagian mereka memiliki harta yang langsung tidak sepadan dengan pendapatan mereka. Rakyat menuntut pelbagai perkara dari pemimpin politik dan wakil rakyat sebab orang politik ini dilihat mempunyai banyak wang.
Akhirnya, wakil-wakil rakyat terpaksa menjadi pegawai kebajikan masyarakat. Mereka terpaksa berbelanja melebihi daripada elaun atau gaji mereka. Untuk membolehkan kekal dalam kedudukan, mereka mengambil projek kerajaan melalui kroni atau mengambil beberapa peratus dari projek yang diluluskan oleh kerajaan negeri atau persekutuan.
Bermulalah rasuah, nepotisma, 'over spending', 'mark-up price' dan pelbagai penyelewengan dilakukan untuk memelihara status quo dan menjadi orang yang berada.
Wakil rakyat dan pemimpin politik yang ikhlas dan tidak pandai cari 'duit luar' terpaksa hidup merana dan dipandang rendah oleh masyarakat. Rasuah, penyelewengan, komisyen kepada orang politik dan pegawai kerajaan sudah dianggap lumrah dan biasa.
Tidak pelik apabila Adun biasa boleh memiliki rumah bernilai jutaan ringgit, manakala bekas menteri besar pula mampu mempunyai rumah ditaksirkan bernilai lebih RM24 juta.
Seolah-olah rakyat sudah menerima acuan baru dalam kehidupan pemimpin politik atau pegawai-pegawai tinggi kerajaan atau pegawai tinggi polis. Mereka yang tidak rasuah dan tidak pandai cari 'duit luar' pula dipandang rendah oleh masyarakat, yang fikiran mereka sudah dituba dan diselewengkan.
Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat cuba mengembalikan dan menjernihkan semula tentang tujuan menjadi pemimpin politik atau menjadi pemimpin kerajaan. Kehidupan sederhana dan tidak mencari 'duit luar' untuk mempertahankan kuasa, kembali menjadi pujaan rakyat dari semua kaum.
Anjakan Tok Guru Nik Aziz mesti dilembagakan, dan bukan dalam bentuk individu. Selepas pemergian beliau nanti, kita harap doktrin kehidupan sederhana diterima pakai oleh pemimpin politik dan pegawai tinggi kerajaan. Rasuah dan cari 'duit luar' mesti dilawan dan meletakan nilai kebencian dari rakyat terhadap sesiapa yang berbuat demikian.
Bagi yang terlibat dengan perniagaan, adalah menjadi hak mereka untuk hidup cara pilihan mereka. Ini kerana mereka tidak secara langsung hidup di atas wang rakyat.
Setelah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Lim Guan Eng cuba berbelanja secara berhemat wang kerajaan Pulau Pinang. Beliau sering menaiki kapal terbang dalam urusan kerajaan dengan menggunakan kelas ekonomi. Beliau menaiki pesawat tidak kira MAS, AirAsia atau Fire Fly. Exco kerajaan Pulau Pinang juga berbuat demikian.
Pegawai kerajaan Pulau Pinang digalakkan mengikut jejak langkah Ketua Menteri dan anggota Exco dalam perjalanan kapal terbang. Mereka sering menempah "Standard Room" hotel bagi menjimatkan belanja wang rakyat.
Pada 6 Ogos lalu, Lim Guan Eng mengumumkan belanja mengurus kerajaan negeri dapat dijimatkan sebanyak RM36 juta. Betapa besar wang mengurus dapat dijimatkan apabila pemimpin bersederhana dalam penggunaan wang rakyat.
Penjimatan itu lebih dari cukup untuk membantu golongan miskin tegar atau membantu sekolah agama rakyat. Saya harap contoh belanja berhemat yang boleh menyelamatkan $36 juta dapat ditiru di negeri-negeri lain.
Malaysia dan rakyatnya akan lebih mewah dan senang apabila rasuah, dan elemen cari 'duit luar' dapat dihentikan atau dikurangkan di kalangan pemimpin politik atau pegawai tinggi kerajaan.
-tranungkite.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan