UBN Najib Altantuya: Abim minta cepat gubal undang-undang ganti ISA


KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan mempercepatkan tindakan penggubalan undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.

Ini bagi memastikan supaya kegiatan protes terhadap ISA oleh sebahagian dari anggota masyarakat di negara ini, sebagaimana yang telah berlaku kelmarin dapat dielakkan dari berterusan.

Demikian kata Presiden Abim, Muhamad Razak Idris, dalam kenyataannya hari ini. Beliau mengulas perhimpunan raksaksa yang berlangsung di ibu negara Sabtu lepas bagi menuntut agar ISA dimansuhkan.
Kata Mohamad Razak, antara tindakan segera yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mempercepatkan proses penggubalan undang-undang baru menggantikan ISA ini ialah dengan menubuhkan satu Suruhanjaya Khas yang dianggotai oleh tokoh-tokoh dari pelbagai sektor masyarakat, meliputi pihak kerajaan, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan menyertainya.

"Pihak kerajaan tidak harus memandang ringan protes-protes yang dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat ini sebagaimana yang terjadi kelmarin kerana ia merupakan manifestasi bantahan terhadap perlaksanaan ISA yang dilihat telah banyak melanggar batas-batas hak asasi warganegara dari kerangka perlembagaan," katanya.

Sehubungan dengan itu juga, katanya, Abim meminta pihak keselamatan membebaskan mereka yang ditahan pada perhimpunan kelmarin dengan kadar yang segera.

Abim juga meminta orang ramai supaya memberi peluang dan masa kepada pihak kerajaan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah membuat kenyataan rasmi untuk membuat kajian semula terhadap akta ini, menyempurnakan janjinya.

"Ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat terbanyak hendaklah dipelihara oleh semua pihak," katanya.

Abim juga mempertegaskan sikapnya pada sebelum ini iaitu ISA hendaklah dihapuskan kerana ia bertentangan dengan prinsip hak kemanusian dari perspektif agama Islam.

Oleh itu, ISA hendaklah diganti dengan satu undang-undang baru yang lebih adil sejajar dengan tuntutan agama dan perlembagaan Malaysia, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan