Oleh SAIDAH HAIRAN
PETALING JAYA: Pimpinan Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan KeADILan) mencapai kesepakatan agar pakatan itu diurustadbir dengan lebih menyakinkan dan akan berusaha keras bagi pengukuhkan dalaman parti.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menjelaskan bengkel kepimpinan sehari itu di sini 13 Ogos lalu, amat penting kerana ia lebih menjurus pada perbincangan untuk menjadikan negeri yang telah diperintah oleh Pakatan Rakyat sebagai satu pangkalan untuk mencapai kejayaan lebih besar.
Selama 16 bulan Pakatan Rakyat memerintah di empat negeri (Perak dirampas secara tidak bermaruah oleh Umno-BN pada awal tahun ini) katanya, apa juga kegagalan mentadbir negeri telah dianalisis dan diakui sejujurnya.
Dalam bengkel itu juga tambah beliau terdapat beberapa cadangan bagi penambahbaikan yang perlu disegerakan untuk memastikan pengukuhan Pakatan Rakyat.
Manakala dalam tempoh terdekat pula katanya, Pakatan Rakyat perlu mendepani cabaran semasa serta menghadapi bahaya mendatang.
Bengkel diadakan di Tropicana Golf Club, Petaling Jaya itu menghimpunkan hampir 100 orang pemimpin utama Pakatan Rakyat. Antara yang hadir Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Ketua Umum, Anwar Ibrahim serta pimpinan tertinggi PAS, KeADILan dan DAP.
Selain itu Salahuddin turut menjelaskan bengkel sehari juga membincangkan tentang isu yang melibatkan komunikasi dalaman parti yang perlu diselaraskan.
Katanya, ini amat penting katanya supaya tidak ada lagi sebarang kenyataan yang keluar daripada pimpinan Pakatan Rakyat sehingga mudah dieksploitasi oleh musuh (BN).
Menurut beliau, peserta bengkel turut membincangkan tentang perancangan dan konspirasi jahat BN yang mahu merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat sebagaimana yang dilakukan di Perak.
Mengulas tindakan rakus BN itu katanya, ia merupakan satu tindakan yang cukup tidak demokratik kerana menggunakan taktik jahat lagi kotor dengan menunjukkan kekuasaan mereka.
Sebenarnya tambah beliau, BN yakin dan percaya dengan cara itu saja mereka boleh mendapatkan Selangor.
"BN bimbang untuk berhadapan dengan rakyat dalam menghadapi pertarungan yang sebenarnya dalam pilihan raya," tegas beliau.
-detikdaily.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan