Oleh Haris Zalkapli | |
BUKIT MERTAJAM, 22 Ogos: Dalam permainan simbol kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, PAS sudahpun jauh mengatasi Umno dari segi calon yang dikemukakan. Calon PAS seorang yang berpendidikan agama dan tidak memiliki bagasi peribadi yang boleh diperkatakan. Calon Barisan Nasional pula menjadi perhatian sejak hari penamaan calon ekoran rekod peribadi melibatkan kerjayanya sebagai peguam sebelum ini. Isu masalah peribadi Rohaizat Othman mendominasi tiga sidang media harian pertama PAS, dengan sebuah lagi sidang media berasingan diadakan di sebuah tempat lain oleh bekas rakan kongsi Rohaizat, Yusri Isahak, untuk menafikan tuduhan-tuduhan pemimpin BN terhadapnya. Daripada apa yang muncul dalam media proparti pemerintah pada hari-hari awal kempen, BN kelihatan terpaksa menjadi defensif dan tidak mampu mengalih perhatian daripada peribadi calon mereka. Dalam hal ini, Umno dilihat terpaksa mengikut rentak kempen PAS. Masalah peribadi calon yang besar itu juga telah mengundang spekulasi sabotaj dalaman parti Umno, sebagai usaha menjejaskan kempen dan pemimpin-pemimpin tertentu. Umno dijangka berdepan pergeseran dalaman ekoran tindakan meletakkan calon bermasalah ini. (Gambar: Yusri, bekan rakan kongsi Rohaizat bangkit membela diri) Media pro-Umno juga cuba menjadikan kempen PAS itu sebagai sesuatu yang negatif apabila mengaitkannya dengan bulan Ramadan, dengan menunjukkan bahawa PAS akan terus menyerang peribadi dalam bulan yang mulia bagi umat Islam itu. Apapun yang cuba dikemukakan oleh Umno, hakikat bahawa parti itu telah memilih seorang yang bermasalah dalam pilihan raya kecil ini mengundang persoalan besar dan berpotensi membawa masalah kepada pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Dato' Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan presiden Umno Muhyiddin Yassin. Zahid yang juga Menteri Pertahanan pada masa sama terpalit dengan kontroversi pertemuannya dengan seorang pemimpin Zionis Israel, Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak. Muhyiddin pula menjadi sasaran pembangkang dalam isu PPSMI. Satu demonstrasi telah diadakan di sebuah masjid di Tanah Liat di sini sebagai menyatakan bantahan pertemuan Zahid dengan menteri Zionis itu. PAS walau bagaimanapun telah menyedari tumpuan yang banyak diberikan pada peribadi calon BN dan mula menerangkan program-program yang bakal dibawa oleh Mohd Salleh Man sekiranya memenangi Dun Permatang Pasir dalam undian pada 25 Ogos nanti. Isu Melayu Kempen PAS di Permatang Pasir pula telah menyaksikan kehadiran Dato' A Samad Said berkempen menyerang parti pemerintah kerana lambat bertindak menamatkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi subjek Sains dan Matematik di sekolah. Penggunaan isu PPSMI oleh PAS dalam kempen ini mampu membawa manfaat besar kepada parti itu, yang bersaing dengan agresif dengan Umno untuk memenangi hati dan minda orang Melayu. Ketika isu pengkhianat bangsa dimainkan Umno, PAS mengemukakan isu PPSMI ini yang mampu meningkatkan imejnya dalam memperjuangkan kepentingan Melayu. PPSMI menjadi satu simbol paling mudah diperhatikan melibatkan perjuangan Melayu, antaranya disebabkan individu berprofil tinggi yang terlibat dalam kempen menentang program bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu. PAS telah melakukan satu tindakan tepat dari sudut politik apabila menganugerahkan Anugerah Pejuang Bahasa kepada Dato' A Samad Said dan Dr Hassan Ahmad dalam muktamarnya yang lepas di Shah Alam, Selangor. Tindakan PAS itu telah menempatkan aktivis-aktivis bahasa Melayu dalam kemnya, menaikkan lagi imej PAS dalam perjuangan isu-isu Melayu. Inilah yang diteruskan melalui kempen Samad Said di Permatang Pasir. Selain bekas rakan kongsi Rohaizat, Samad Said menjadi tumpuan utama kempen di Permatang Pasir yang menyaksikan perang poster yang sangat minima. Tidak seperti kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang berlaku di kawasan yang sama dan Dun Manek Urai sebelum ini, Permatang Pasir tidak menjadi medan poster-poster berbentuk kenyataan keras, karikatur dan kartun menyerang individu atau kumpulan tertentu. Kempen di Permatang Pasir kini memasuki fasa kedua, berlangsung dalam bulan Ramadan. Setakat ini, kempen berjalan dengan hanya sedikit isu besar nasional. Selepas menyaksikan kempen dengan isu nasional sepenuhnya dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, penduduk Permatang Pasir kini melihat kempen yang mungkin paling bersifat setempat. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan