Ali Hashim | |
KULIM, 29 Ogos: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim, Lim Soo Nee berjanji akan memberi sokongan yang padu kepada kerajaan negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Beliau juga berjanji akan memberikan khidmat terbaik jika dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah nanti selepas diperkenankan oleh Tuanku Sultan Kedah. Menurut beliau lagi sekiranya pelantikan sebagai Exco bagi menggantikan Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah maka beliau akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan itu dengan sebaik mungkin. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak baru-baru ini telah mengumumkan bahawa Lim telah mendapat perkenan Sultan Kedah bagi menggantikan tempat Radzhi yang mengisytiharkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat dan menjadi wakil bebas. Ekoran daripada tindakan Radzhi itu maka situasi politik di negeri Kedah mulai hangat apabila Lim yang juga Adun daripada PKR sebelum ini banyak mempersoalkan tindakan kerajaan negeri. "Saya tidak ada kena mengena dengan agenda lompat parti yang diuar-uarkan di negeri Kedah. Saya juga hairan kenapa nama saya dilibatkan dalam agenda lompat parti ini. "Saya begitu kecewa dengan sesetengah pihak yang sengaja memburuk-burukkan nama saya. Saya sentiasa berada di Pusat Khidmat saya di Kulim. Sebagai seorang Adun yang diamanahkan maka saya akan melaksanakan tugas saya sebagai Adun," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Lim meminta mereka yang sering membuat fitnah untuk menjatuhkan imejnya supaya menghentikan perbuatan tersebut dengan serta merta. "Saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang cuba untuk mencemarkan dan menjatuhkan nama baik saya. "Sekiranya fitnah yang dilakukan tidak dihentikan oleh mana-mana individu atau pihak maka saya pasti akan mengambil tindakan bagi membersihkan nama baik saya," katanya. Lim juga berkata sekiranya dilantik sebagai Exco maka beliau akan tetap dengan agenda untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat walaupun terpaksa membuat teguran kepada kepimpinan negeri yang membuat kesilapan. Kerusi PKR di Kedah kini kurang satu apabila Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh mengisytiharkan dirinya sebagai wakil bebas setelah keluar daripada PKR. Walau bagaimana pun Kedah kemungkinan akan menghadapi satu lagi pilihan raya kecil setelah Adun Kota Siputeh, Abu Hasan Sarif yang mewakili Barisan Nasional dikatakan melanggar undang-udang Tubuh Negeri Kedah berikutan ketidakhadirannya ke persidangan dewan pada 19 April dan 9 Ogos yang lalu. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan