UBN Najib Altantuya: Mengapa perlu lokek; beri vaksin percuma kepada rakyat

Virus selesema babi atau Influenza A (H1N1) yang melanda negara ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh kerajaan. Walaupun sehingga kini dilaporkan lebih 50 orang maut, namun kerajaan seperti melihat masalah ini bukan satu perkara yang serius. Dalam menangani kes ini, usaha kerajaan ke arah merealisasikan slogan 'One Malaysia' dan rakyat didahulukan tidak memberi erti apabila tidak ada langkah drastik kerajaan seperti mengedar topeng secara percuma di tempat-tempat awam.

Apakah benar dakwaan ini, ikuti temubual Wartawan Harakah, SALMIYAH HARUN bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Meru, Dr Abdul Rani Osman, yang juga seorang pengamal perubatan.

HARAKAH: Dalam menghadapi penularan virus selesema babi H1N1 kerajaan dilihat ada sindrom penafian dan sekadar menjelaskan virus yang boleh membawa maut itu masih terkawal. Mengapa perkara ini berlaku?

DR ABDUL RANI OSMAN: Saya rasa Kerajaan Persekutuan mengambil langkah itu supaya memberi gambaran kepada pelancong dan pelabur luar bahawa virus itu tidak serius dalam negara ini. Tindakan itu sekali gus untuk menjaga kepentingan pelabur yang datang ke negara ini.
Apa yang saya lihat kepentingannya itu bukan ke arah kepentingan rakyat tetapi kepada pelabur. Keadaan ini membuatkan rakyat tidak mengambil serius untuk mencegah dan mengelakkannya. Saya sendiri melihat usaha kerajaan sendiri untuk menangani virus ini tidak serius berdasarkan, langkah pencegahan di pintu masuk negara seperti di lapangan terbang yang mana pihak berkuasa tidak memperketatkan skrin suhu.
Apabila mereka bertindak tidak serius, virus ini semakin bertambah. Saya nampak kerajaan mahu menjaga kepentingan pelabur asing. Jadi apa yang terjadi ini rakyat bukan lagi diutamakan, menjadi slogan yang tidak bererti kepada rakyat.
Kerajaan jangan pandang remeh dengan masalah ini, hari ini kita dengar lebih 50 orang meninggal itu yang dilaporkan, dan jangan sampai ianya hampir meragut puluhan ribu rakyat negara ini baru kerajaan hendak bertindak lebih serius.

Setiap hari ada sahaja kematian lima hingga tujuh orang yang dilaporkan. Bahkan penularan itu terlalu cepat. Apakah ini juga dikatakan bala yang sedang menimpa rakyat negara ini?

Kerajaan sepatutnya menangani masalah ini lebih awal, dengan segala pencegahan disamping juga berusaha ke arah spiritual. Kita kena ingat apa sahaja pendemik yang melanda manusia ianya sebagaimana disebut dalam Al quran. Kalau Tuhan hendak menghancurkan sesebuah negeri itu melalui penyakit pun boleh hancur juga sesebuah kerajaan itu.
Banyak faktor yang menyebabkan hancurnya sesebuah kerajaan bukan kerana dilanda ribut sahaja bahkan dari segi ekonomi, sosial bahkan terdekat adalah masalah kesihatan. Kita kena sedar apa yang diperkatakan itu atas semua kehendak tuhan.
Misalnya ada taufan yang kita tahu sedikit sebanyak melalui kaji cuaca, tetapi kita kena ingat bahawa Allah yang menguasai alam ini. Apa yang saya lihat kerajaan tidak mendahulukan apa yang sepatutnya, misalnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Jamil Khir Baharom mengarahkan mengadakan solat hajat selepas Ahli Parlimen Pendang Dr Hayati Othman sebut.
Maknanya apa yang berlaku kita kena kembali kepada Allah. Memang betullah manusia kena berusaha tetapi diakhirnya kita kena faham kepada Allah juga kita kena berserah. Malangnya, kita masih berdolak-dalik, Ya, kita boleh kata bala, antara sebab lain hukum-hukum allah tidak dijalankan dan diamalkan. Hukum manusia ini ada kelemahannya.


Kalau kita lihat usaha kerajaan lebih kepada kempen yang akan dijalankan bahkan mereka memperuntukan sebanyak RM20 juta untuk menghadapi penularan virus itu. Apakah yang diharapkan daripada peruntukan itu?

Kerajaan perbanyakkan kepada penyediaan ubat-ubatan walaupun tidak ada antidot untuk selesema babi ini, kerajaan kena juga adakan arahan kepada orang ramai untuk tidak mengadakan majlis yang membabitkan kumpulan.
Misalnya kalau ada pertandingan bayi sihat pun kita terpaksa batalkan untuk mengelak bayi atau kanak-kanak terdedah dengan udara yang tidak bersih khususnya apabila dikelilingi orang ramai. Sepatutnya kerajaan peruntukan lebih duit itu untuk memberi topeng secara percuma kepada orang ramai.
Kemudian menyediakan 'hand sanitaizer' di tempat-tempat awam dan sekolah-sekolah diberikan secara percuma. Tetapi pada hari ini kita lihat usaha ke arah itu tidak serius. Saya tidak nafikan usaha memberikan topeng secara percuma kurang dipraktikkan oleh kerajaan. Mungkin usaha ini tidak ditekankan kerajaan dibimbangi akan menjejaskan pelabur ke negara ini yang mengaggap virus itu semakin membimbangkan di samping melihat rakyat negara ini bertopeng.

Vaksin yang diminta kerajaan hanya akan tiba di negara ini pada September depan, sedangkan jumlah kematian akibat virus ini semakin bertambah dari sehari ke sehari. Apa komen Dr?

Itulah masalahnya. Berapa kos yang dikeluarkan kerajaan untuk itu beli vaksin pun kita tidak tahu. Kalau hepatitis RM100 satu dos, untuk H1N1 kita tidak tahu, terkini turut membimbangkan kita pula ada selesema baru iaitu selesema anjing yang sedang melanda negara China.
Saya minta agar vaksin yang disediakan kerajaan kelak diberikan secara percuma kepada rakyat negara ini. Inilah sepatutnya kerajaan buat. Kalau di klinik swasta memang dikenakan bayaran. Tetapi hospital kerajaan saya harap diberi percuma kepada rakyat negara ini.
Jika kerajaan menegaskan mereka memperuntukan jumlah yang besar untuk membeli vaksin itu dan mungkin akan dikenakan bayaran, kita minta rakyat bayar dengan harga paling minimum pun jadilah sama ada seringgit atau dua ringgit. Jika kerajaan betul-betul hendak merealisasikan One Malaysia dan rakyat diutamakan, seharusnya vaksin diberikan percuma.
Kita juga berharap vaksin itu disediakan dengan secukupnya memandangkan virus ini tidak nampak ke arah beransur pulih sebaliknya ia bertambah teruk sehingga ada sahaja kematian yang dilaporkan setiap hari.

Naib Presiden PAS Salahhuddin Ayub turut mencadangkan agar ditubuhkan Majlis Keselamatan Negara melibatkan parti dan Ngo dalam menangani virus ini. Apa pandangan Dr?

Memang saya setuju. Sesebuah jawatan atau majlis perlu ada orang luar, misalnya kalau kita kena buat audit perlu ada anggota luar (external audit) mereka perlu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti atau individu. Begitu juga dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kita minta ia menjadi suruhanjaya bebas.
Keadaan ini supaya mereka yang terbabit bebas daripada mana-mana pengaruh yang mana akhirnya keputusan dihasilkan telus dan tidak menyebelahi mana-mana pihak sama ada kerajaan ataupun pembangkang. Tidak kisah apa yang hendak dibentuk menangani sesuatu masalah yang penting keanggotaan itu perlu dipelbagaikan daripada NGo, parti politik kerajaan atau pembangkang.

Ada 'rumours' mengatakan kemungkinan virus ini sengaja disebarkan untuk mendapatkan keuntungan melalui jualan ubat dan topeng. Apa pandangan Dr?

Ada juga orang mengatakan begitu. Bahkan mengatakan Amerika sengaja menimbulkannya. Tetapi saya tidak berapa pasti kebenarannya. Mungkin ada kebenarannya juga berikutan ekonomi Amerika merundum di samping hutang yang masih banyak dengan pertubuhan dunia.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan