UBN Najib Altantuya: Najib paling cemas jika Ku Li sertai Pakatan Rakyat


BUKAN main terkejut Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Mohd Yassin apabila mendapat tahu yang bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menyertai PKR.

Terkial-kial juga Muhyiddin menyusun ayat-ayat ‘power’ untuk menunjukkan bahawa Umno masih memerlukan Ku Li dan menyanjung Ku Li sebagai seorang pejuang Umno yang sudah sekian lama bersama-sama parti itu.

Serentak dengan itu, Muhyiddin turut menyebut bahawa Ku Li membantu BN ketika berkempen di Manek Urai, cuma Muhyiddin tidak menyebut mengapa Ku Li tidak muncul sejak hari penamaan calon hinggalah pengundi keluar mengundi pada 14 Julai 2009 yang lalu.

Hubungan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dengan Ku Li sukar dibaca. Ku Li turut mencari pencalonan bagi merebut jawatan Presiden Umno ketika Najib sudah menang tanpa bertanding.

Najib tentunya mengharapkan Ku Li yang mengetuai Umno Bahagian Musang supaya mencalonkannya sebagai Presiden. Muhyiddin juga terlalu mengharapkan percalonan dari Gua Musang.

Namun, kedua-duanya, Najib dan Muhyiddin ternyata dihampakan oleh Ku Li.
Gua Musang mencalonkan Ku Li sendiri sebagai calon Presiden manakala bagi jawatan Timbalan Presiden, Shahrir Samad dinamakannya. Entah macam mana, apabila terdengar Zaid mempelawa Ku Li menyertai PKR, bukan main gelabah Muhyiddin.

Najib hanya berdiam diri tetapi kerisauan Muhyiddin tentunya bersebab. Muhyiddin sudah melihat di depan matanya, ketika Najib dan beliau sendiri menyambut 100 hari mereka sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, BN kehilangan Chua Jui Meng, bekas Naib Presiden MCA yang dua kali layak untuk bertanding kerusi Presiden MCA.

Sedikit sebanyak, Jui Meng mempunyai pengaruh dalam MCA. Jika tidak mustahil Jui Meng mampu mengutip pencalonan dan undi ketika dua kali bertanding jawatan Presiden. Pengaruh Jui Meng bukan kecil walaupun belum mampu untuk menjadikan dia sebagai Presiden.

Begitu juga Ku Li. Walaupun beliau dilihat tidak pernah layak mendapat pencalonan untuk bertanding Presiden Umno tetapi siapakah yang boleh menafikan pengaruh bekas Menteri Kewangan ini kepada Umno di peringkat akar umbi?

Ku Li tentunya yakin, jika bukan kerana quota pencalonan yang membolehkan seseorang itu bertanding, beliau sudah tentu mampu mencari pencalonan untuk tujuan tersebut.
Quota pencalonan yang diperkenalkan Dr. Mahathir Mohamad ketika dia mahu mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, benar-benar ‘menjadi pagar’ kepada mereka yang berjawatan.

Hari ini, Najib dan Muhyiddin tentunya sukar lena malam apabila Ku Li menyatakan sokongannya supaya royalti minyak diberikan kepada Kelantan. Janji Muhyiddin di Manek Urai yang mengatakan Petronas akan membuat penjelasan, ternyata omong kosong.

Seorang penyokong Umno yang kenal Ku Li memberitahu, Umno tidak ‘tahu bahasa’ untuk mengajak Ku Li supaya sama-sama turun berkempen di Manek Urai. Jemputan kepada Ku Li hanya dihantar melalui faks.

Disebabkan tidak ‘tahu bahasa’ ini menyebabkan Ku Li merasakan Umno Malaysia dan Umno Kelantan tidak memerlukan sumbangannya. Manek Urai adalah jiran Gua Musang yang mana ramai yang percaya pengaruh Ku Li sedikit sebanyak mampu meraih sokongan. Setakat ini Ku Li sendiri tidak ada mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai perlawaan Zaid itu.

Malahan, ada yang mula bercakap kemungkinan Ku Li sedang memberi pertimbangan sewajarnya terhadap perlawaan itu.

Ketika Muhyiddin mengharapkan Ku Li akan kekal dalam Umno kerana sejarah perjuangan Ku Li sendiri dalam Umno, namun tidak ada usaha dari Najib atau Muhyiddin untuk mengadakan pertemuan dengan Ku Li.

Ketika Umno terkepung-kepung wakil rakyatnya supaya jangan melompat ke PKR dan Pakatan Rakyat, Najib dan Muhyiddin tentunya terdengar cerita ada lagi bekas Menteri yang akan menyeberang walaupun tidak menggunakan jambatan ‘Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru’ yang belum dibina itu.

Ditulis Oleh SAMAD IDRIS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan