Oleh Zukri Aksah
Tee Lian Ker, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang selama tiga penggal, menyifatkan krisis di antara Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat dan politiko-korporat Tiong King Sing sebagai penentu sama ada rakyat Malaysia akan mengambil peluang ini atau tidak dalam meletak satu tanda aras baru sejarah Malaysia berkaitan dengan transparensi dan akauntabiliti pentadbiran dan sistem politik.
Dakwa Tee, yang pernah menjadi Naib Pengerusi MCA Pahang dan Ahli Jawatankuasa MCA Pusat, ramai menjangka yang Ong Tee Keat bakal berhadapan dengan kejatuhan memandangkan Tiong King Sing dikenali sebagai seorang yang punya rangkaian kuat dengan personaliti-personaliti yang begitu berkuasa.
Bahkah Tee mengatakan yang telah disebut-sebut orang bahawa ramai personaliti Umno dan MCA berada di bawah “penggajian” Tiong King Sing. Tiong King Sing juga dikenali sebagai seorang yang sangat pandai menghidu peluang.
Tambah Tee, malangnya dalam masa yang sama, Ong Tee Keat pula bukanlah seorang yang punya rangkaian pendesak. Tetapi kelebihannya, Ong Tee Keat dikenali sebagai orang yang tidak mengambil endah akan hal-hal yang remeh dan mengarut.
Ong Tee Keat juga bagi Tee, dikaguminya sebagai seorang yang tidak mudah “dimakan” dan tidak takutkan sesiapa.
Persoalannya, selamatkah Ong Tee Keat dalam peperangan dengan kuasa berangkai ini? Ong Tee Keat sendiri, ujar Tee mengakui yang kumpulan seperti Tiong King Sing adalah kuasa politiko-korporat yang sangat kuat dan adalah tidak bagus untuk menimbulkan kekacauan dengan mereka.
Tetapi kerana mempertahankan prinsipnya Ong Tee Keat, ujar Tee lagi, tidak tunduk dengan gangguan dan tekanan ini, bahkan secara senyap-senyap Ong Tee Keat telah berpesan dan memberi amaran kepada komradnya untuk bersedia gugur berjuang.
Tee dalam ulasannya menggambarkan Ong Tee Keat sebagai seorang yang berani dan langsung tidak memperlahankan rentaknya walaupun tahu beliau sedang berhadapan dengan seorang yang sangat berkuasa dari segi kewangan dan politik.
Malahan bagi Tee, Ong Tee Keat telah menunjukkan ketenangan luarbiasa yang gagal ditunjukkan oleh presiden-presiden MCA yang lepas bila berhadapan dengan krisis. Lim Chong Yu dan Neo Yee Pan pernah jatuh dalam keadaan berbeza dan oleh kuasa yang berbeza. Tetapi satu yang pasti, tegas Tee, yang juga harus diingat oleh Ong Tee Keat, sehingga kini belum ada lagi pemimpin MCA walau sekuat mana sekalipun, berjaya dalam berhadapan dengan taiko, towkey dan “big boss.”
Bahkan sudah ada taiko dan towkey yang meramal kejatuhan Ong Tee Keat, wujud cakap-cakap ada yang sanggup bertaruh RM100 juta semata-mata mahu melihat kejatuhannya. Ramai kalangan pemimpin MCA sendiri dikatakan sanggup menggadai maruah, tiada keberanian dan ketetapan untuk berdiri teguh bersama Ong Tee Keat.
Bagi Tee, harapan untuk perubahan hanyalah bergantung kepada generasi muda dan baharu yang telah berubah cara berfikir dan pendekatan politik mereka. Golongan inilah yang kuat mendesak akan keperluan transparensi dan akauntabiliti.
Tuntutan perubahan ini bukan hanya bergema di kalangan generasi muda dalam MCA tetapi melibatkan seluruh rakyat Malaysia dan semua kaum. Kuasa pemikiran generasi muda ini, ulas Tee, mungkin mampu merobah hasil dari pertembungan Ong Tee Keat dan Tiong King Sing.
Dalam kesimpulannya, Tee mengandaikan bahawa hasil positif ini diharapkan pula berupaya membawa banyak getaran, nilai dan budaya yang juga positif terhadap BN yang sedang makin tenggelam
themalaysianinsider.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan