Shamsul Iskandar Mohd Akin | |
Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas pihak polis menyerang, mengganasi dan menangkap rakyat Malaysia yang melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman di Kuala Lumpur hari ini, menuntut pemansuhan akta zalim ISA. Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengutuk tindakan ganas polis yang sama sekali tidak perlu. Ia adalah di luar batasan amalan demokrasi dan hak asasi rakyat Malaysia untuk menyerahkan memorandum ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Malah pihak polis tidak menghormati Baginda kerana temujanji untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Baginda telah ditetapkan pada hari ini. Keganasan hari ini yang menindas dan menekan suara rakyat Malaysia ternyata mendedahkan omongan kosong '1 Malaysia' yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri. Angkatan Muda Keadilan Malaysia menggesa Dato' Seri Najib Razak untuk membuktikan bahawa pentadbiran beliau bukan hanya berasaskan slogan-sloganan semata-mata dengan membuka ruang demokrasi dan bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia. Sebagai langkah pertama, hampir 500 orang rakyat yang ditahan hari ini ketika melaksanakan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan, mesti segera dibebaskan. Ketua Polis Negara dan pegawai-pegawai utama polis yang mengarahkan keganasan hari ini, mencabul hak perlembagaan rakyat dan bertindak biadap terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, perlu digantung tugas dan siasatan bebas dilaksanakan terhadap mereka. Najib perlu bersedia membuktikan bahawa beliau berhasrat untuk benar-benar menjadi Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia dengan segera mengambil langkah-langkah perlu untuk menentukan kehendak sebenar rakyat mengenai ISA dengan mengadakan pungutan suara (referendum) bebas. Tatacara pengendalian pihak polis terhadap rakyat yang berhimpun mesti dikaji semula bagi memastikan mereka mengawal keselamatan dan bukan bertindak liar mengganasi rakyat. Sudah sampai masanya tindakan pemerintah memperalatkan polis untuk kepentingan sempit mereka dihentikan dan polis seharusnya menjaga keselamatan rakyat dan bukan mengganasi mereka. Sekiranya Najib enggan melaksanakan perubahan-perubahan ini, ternyata beliau mengemukakan gagasan '1 Malaysia' hanya sekadar untuk mengabui mata rakyat dan memperdayakan Malaysia bahawa kerajaan hari ini sudah berubah. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan