Mohd Rashidi Hassan | |
TIADA siapa yang boleh memadam sejarah Malaysia bahawa Umno merupakan satu-satunya parti Melayu yang majoritinya penganut agama Islam, berjaya menerajui negara sejak sebelum merdeka lagi. Umno yang memperjuangkan nasionalisme Melayu, menjadi peneraju utama kerajaan Barisan Nasional yang turut dianggotai beberapa parti nasionalis yang lain. Asas utama kepada penyatuan BN yang diterajui Umno ialah penyatuan bangsa-bangsa Melayu-Cina dan India (terutamanya), untuk membentuk suatu perikatan atau gabungan daripada pelbagai kepentingan bangsa dan agama. Parti-parti nasionalis ini begitu lantang memperjuangkan ideologi dan idealisme masing-masing, untuk mencapai matlamat asasi iaitu memelihara, memupuk dan mempertahankan kepentingan bangsa dan agama mereka. Tidak dinafikan gabungan parti-parti nasionalis ini mendapat apresiasi rakyat, apabila mandat berterusan diberikan dalam tempoh yang agak lama iaitu lebih 50 tahun. Lebih separuh kurun rakyat memberikan penguasaan mutlak BN terhadap negara. Dalam tempoh itu juga secara tidak disedari, ianya secara tidak sengaja membentuk minda diktator di kalangan pemimpin Umno-BN. Mereka sering merasakan mereka terlalu kuat dan gagah dan tidak mampu ditumbangkan oleh sesiapa pun. Mereka turut mempunyai persepsi bahawa mereka adalah tuan kepada sistem politik, ekonomi, pembangunan, pendidikan dan segala-galanya dalam negara ini. Dan dengan kekuatan penguasaan yang sekian lama itu menyebabkan pemimpin Umno lupa dan lalai untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai sebuah parti yang memelihara kepentingan agama Islam dan ketuanan orang-orang Melayu. Sejak Umno-BN menguasai negara, populasi kependudukan orang Melayu merosot sedikit demi sedikit daripada lebih 70 peratus kepada 51 peratus sahaja. Kuasa Melayu dari sudut politik terhakis kerana populasi menurun. Kuasa Melayu dari sudut ekonomi juga gagal diseimbangkan dengan kaum-kaum lain kerana Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan gagal mencapai sasaran, akibat ketamakan segelintir pemimpin Umno. Malah kekuatan orang Melayu yang majoritinya beragama Islam juga, tidak dapat mencapai suatu tahap yang boleh dibanggakan kerana Umno mengambil dan melaksanakan agama secara berpilih-pilih. Dalam ertikata lain, Islam pada Umno, hanya akan dilaksanakan, pada aspek-aspek yang menepati kepentingan politik, untuk mengekalkan kuasa politik mereka, bukan untuk melaksanakan Islam yang syumul sebagaimana tuntuan syarak. Hari ini kuasa politik Umno yang menjadi tonggak kekuatan politik Melayu dicanangkan semakin terhakis. Hakikatnya kuasa politik Melayu terhakis bukan kerana banyak kawasan yang ditandingi Umno, kini sudah dikuasai PAS atau KeADILan. Sebaliknya ia berpunca daripada, kesilapan pemimpin Umno yang hanya mementingkan kuasa politik lebih daripada kepentingan bangsa yang menjadi asas perjuangan selama ini. Dengan kuasa majoriti lebih dua pertiga di Parlimen Umno-BN membahagi-bahagikan kerusi melalui persempadanan kawasan pilihan raya sehingga menyebabkan kerusi majoriti Melayu dan bukan Melayu sama banyak. Negeri-negeri di mana ramai penduduk minoriti bukan Melayu, diperbanyakkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, manakala negeri majoriti Melayu tidak ditambah kerusi Dun dan Parlimen. Persempadan semula kawasan pilihan raya yang dikuatkuasakan pada 2003 misalnya, memecahkan banyak kawasan majoriti Melayu dengan memasukkan jumlah pengundi bukan Melayu yang agak besar, untuk mengalahkan PAS dan KeADILan. Jelas Umno mahu mengekalkan kuasa mereka, dengan hanya semata-mata bergantung kepada manipulasi politik terhadap bukan Melayu yang dianggap akan tetap setia dengan Umno-BN khususnya. Kesilapan ini amat besar sebenarnya. Percaturan Umno bahawa bukan Melayu akan kekal menyokong mereka, memakan diri. Apabila pengundi bukan Melayu beralih arah kepada Pakatan Rakyat, Umno semakin gusar. Umno mendakwa kuasa politik Melayu sudah semakin terhakis. Umno sebenarnya hanya mahu memadamkan hakikat bahawa, terhakisnya kuasa politik Melayu adalah kerana kesilapan dan ketamakan mereka untuk mengekalkan kuasa. Permainan politik Umno-BN ini sudah tidak boleh diterima rakyat. Pemimpin-pemimpin mereka sedang dilanca kecelaruan yang tidak berkesudahan akibat kekalahan besar dalam PRU ke 12 yang lalu. Pada saat ini bukan sahaja Umno yang sedang celaru. Seluruh parti komponen BN juga turut dilanda kecelaruan. Mereka tidak sedar bahawa Umno, MCA, Gerakan, MIC dan seluruh anggota komponen BN sedang menerima hukuman yang berat iaitu penolakan yang berterusan daripada rakyat. -harakahdaily.net- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan