Ali Hashim | |
JELUTONG, PULAU PINANG, 29 Ogos: Belum selesai dengan kekecewaan di Permatang Pasir, Umno Pulau Pinang menerima satu lagi tamparan apabila 17 cawangan Umno dalam bahagian Jelutong mencabar pimpinan Umno negeri berdebat dengan mereka mengenai kesahihan status mereka. Wakil kepada 17 cawangan Umno tersebut, Abdul Wahab Abdullah berkata, kemungkinan apa yang berlaku adalah satu konspirasi oleh sesetengah pihak yang mahu menyekat kemaraan mereka yang berwibawa dalam Umno bahagian Jelutong bagi bertanding jawatan Ketua Bahagian. "Kenyataan oleh badan perhubungan yang menyatakan bahawa penutupan 17 cawangan Umno dalam bahagian Jelutong kerana hanya 40 peratus daripada ahlinya sahaja yang aktif adalah tidak munasabah kerana banyak daripada cawangan yang ditubuhkan sudah melewati 15 tahun. Jumlah keahlian seramai 4500 orang dalam 17 cawangan ini adalah bukti bahawa kami masih aktif. "Kami juga berasa hairan dengan tindakan BPUNPP yang dilihat bertindak tanpa memikirkan hala tuju 4500 ahli Umno yang setia menyokong parti ini selepas penggantungan. "Kami juga bersedia untuk mencabar mana-mana wakil BPUNPP untuk berdebat dengan kami bagi menjelaskan status kesahihan 17 cawangan Umno dalam bahagian Jelutong ini," katanya. Masalah penggantungan 17 cawangan Umno dalam bahagian Jelutong ini sudah berlarutan sejak sekian lama. Namun begitu BPUNPP semasa krisis tersebut adalah dibawah teraju mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengerusinya dan ketua pembangkang Dun Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim sebagai setiausahanya. Kini masalah tersebut masih berterusan walaupun Pengerusi BPUNPP sudah diterajui oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Azhar masih lagi menjadi setiausahanya. "Sekiranya masalah perpecahan dalam parti ini masih berterusan dan tabiat kronisme masih lagi berterusan dan menjadi amalan kepada kepimpinan Umno yang ada maka saya tidak nafikan bahawa Umno akan tumbang dalam pilihan raya umum yang ke-13 yang akan datang. "Oleh kerana itu saya merayu kepada Majlis Tertinggi Umno supaya segera menyelesaikan masalah ini terlebih dahulu supaya ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti Umno yang dilihat semakin menurun dan terhakis," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan