UBN Najib Altantuya: Umno khianati hak rakyat Terengganu, Kelantan

Oleh IRWAN MUHAMMAD ZAIN

Menyekat royalti minyak seperti yang dilakukan oleh Umno dan BN terhadap Terengganu ketika dibawah pemerintahan PAS merupakan satu tindakan pengkhianatan terhadap orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Ustaz Nasir Zakaria ketika dihubungi menjelaskan sikap pengkhianatan pemimpin Umno terhadap orang Melayu amat jelas bila mereka memutuskan untuk menarik balik royalti yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Terengganu ketika PAS memerintah negeri tersebut pada tahun 1999 hingga 2004.

Umno juga tegas beliau bukan hanya mengkhianati orang Melayu yang menjadi majoriti penduduk Terengganu tetapi turut melakukan perkara yang sama terhadap orang Melayu di Kelantan bila enggan membayar royalti Petroleum berjumlah hampir RM 1 bilion yang sepatutnya diterima sejak tahun 2004.

"Apakah pemimpin-pemimpin Umno khususnya Muhyiddin tidak sedar dengan apa yang mereka lakukan terhadap majoriti orang Melayu di Kelantan dan Terengganu?

"Apakah menyekat pelaburan ke Kelantan dan menarik balik royalti minyak di Terengganu ketika PAS memerintah bukan satu pengkhianatan terhadap orang Melayu yang telah dilakukan oleh pemimpin Umno?

"Jika benar Umno membela Melayu kenapa banyak sangat diskriminasi dilakukan ke atas Kelantan yang mana majoriti penduduknya merupakan orang Melayu?" soal beliau.

Nasir juga menegaskan Umno kini jelas terdesak dalam usaha mereka untuk mempertahankan parti itu yang semakin hilang sokongan hingga menyalahkan pihak lain atas kegagalan mereka membela orang Melayu selama lebih 50 tahun memerintah negara.

Justeru, beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin Umno agar segera menghentikan perbuatan menyalahkan pihak lain atas kesilapan mereka sebaliknya menerima hakikat rakyat kini sudah muak dengan sikap mereka yang hanya mementingkan kroni semata-mata.

Gagal pikul amanah, Umno khianati Melayu

Umno merupakan pengkhianat kepada bangsa dan agama, ianya tidak dapat disangkal oleh sesiapapun dengan sejarah terbaru yang dialami negara ini.

Menurut AJK PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar, rakyat umum mengetahui perbuatan Umno ke atas politik negara yang menyebabkan terjadi pelbagai kesan buruk ke atas bangsa Melayu.

"Sejak dari awal isu Tun Dr Mahathir menarik balik royalti minyak daripada kerajaan negeri Terengganu, kemudian menutup Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang bertujuan untuk melemahkan orang Melayu Islam," dakwanya kepada Harakah.

Jelasnya, pemimpin Umno jugalah yang memperkenalkan sistem meritokrasi dan Pinjaman Tabung Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) yang menafikan hak rakyat menikmati bantuan kewangan berbentuk biasiswa dan dermasiswa.

Setelah itu ujarnya, pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi pula diperkenalkan Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor yang menafikan pula hak orang Melayu di kawasan tersebut.

"Kemudian setelah Najib menggantikan Abdullah, pelbagai perubahan yang merugikan Melayu dibuat termasuk membubarkan Kementerian Koperasi dan Pembangunan Usahawan yang menimbulkan banyak masalah kepada orang Melayu.

"Malah Dasar Liberalisasi Ekonomi juga tidak mendatangkan kesan positif pada pembangunan ekonomi negara apatah lagi rakyat sehingga kini masih belum dapat menikmati dasar tersebut," ujarnya.

Menyentuh mengenai kuota 30 peratus golongan bumiputera dalam Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan sejak pemerintah Tun Abdul Razak, Kamarudin menegaskan ianya telahpun hilang sekarang ini.

"Ini semua angkara Umno yang jadi pengkhianat dari dalam kepada rakyat dan orang Melayu. Ini tidak syak lagi," tegasnya.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan