UBN Najib Altantuya: Umno tergugat punca Anwar diserang, kata Nik Aziz

Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 12 Ogos (Hrkh): Kerana kehebatan dan kejayaannya menggugat Barisan Nasional (BN) khasnya Umno, menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di serang habis-habisan, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagi beliau, semuanya berdasarkan satu perkara sahaja iaitu dengki terhadap Ketua Pembangkang itu sehingga beliau dituduh sebagai pengkhianat bangsa.

Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas serangan besar-besaran Umno terhadap Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini.

Ia bermula dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin yang mendakwa Anwar adalah pengkhianat orang Melayu. Namun, tidak ada sebarang kenyataan yang jelas apa dia pengkhianatan yang dibuat Anwar.

Ekoran itu, Anwar menghantar notis peguam kepada Muhyidin dan meminta agar kenyataan itu ditarik balik dan meminta maaf kepadanya.

Namun, ia ditolak oleh Muhyidin bahkan selepas itu, Umno Johor berhimpun di Paguh dan meneriakkan perkataan "Anwar pengkhianat" secara beramai-ramai. Mereka juga mencabar Anwar menyaman mereka.

Menurut Nik Aziz, Umno seharusnya menyerang dasar perjuangan parti PKR dan bukannya individu sekiranya mendapati perjuangan parti itu tidak betul.

Image(Gambar: Hubungan rapat antara Anwar dengan Nik Aziz dan Abdul Hadi)

Katanya lagi, dalam sejarah ketamadunan manusia, Namrud dan Firaun walaupun berkuasa namun kerana menghianati ajaran Allah, mereka tetap menerima padah serta hukuman dari Allah walaupun berbangsa Arab.

Umno katanya, tidak wajar menyerang individu untuk menarik perhatian masyarakat terhadap mereka dengan memburukkan Anwar Ibrahim, sebaliknya dasar parti yang perlu dikritik atau seumpamanya sekiranya ia tidak betul.

Beliau melahirkan rasa malu terhadap orang politik Malaysia yang menyerang individu secara besar besaran dengan mengatakan Anwar sebagai penghianat bangsa.

Jelasnya, kalau demikian hujjah Umno, Nabi Muhammad saw juga boleh diistilahkan sedemikian kerana baginda turut menentang bapa saudara yang sebangsa dengannya.

"Sejahil-jahil orang Arab Jahiliah pun dia tak kata Nabi Muhammad ni penghianat bangsa, sebaliknya sebagai orang yang memperbodohkan pemimpin kami, itu saja tak ada pun sebut pengkhianat bangsa",ujarnya lagi.

Sambungnya lagi, masaalah bangsa itu hanya akan timbul setelah masyarakat itu sendiri yang membangga-banggakan bangsanya, sedangkan seruan bangsa di Padang Mahsyar nanti tidak wujud.

Tambahnya, sekiranya bangsa cukup berharga di sisi Allah, tentu sekali bangsa Arab lebih berharga dari Melayu.

Menurutnya, kerana Anwar bersama Pakatan Rakyat dan semakin diterima rakyat, menyebabkan mereka takut dan cara yang difikirkan sesuai bagi mereka ialah menyerang ketua pembangkang itu secara peribadi.

"Kita ni nak naikkan (fahaman) politik, dan bukannya nak menaikkan atau memburukkan individu tertentu, tak betul, itu memalukan kita,"ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan