Afghanistan, perang yang semakin sukar bagi Obama

ANALISIS

Dunia Islam menyaksikan tragedi terbaharu bulan Ramadhan ini, apabila puluhan rakyat awam Afghanistan terkorban dalam satu serangan bom oleh pasukan tentera diketuai Amerika Syarikat baru-baru ini.

Serangan yang berlaku tidak jauh dari bandar Kunduz di utara Afghanistan itu berlaku pada masa yang sangat sukar bagi semua pihak, ketika kematian orang awam semakin meningkatkan kemarahan rakyat negara itu terhadap pasukan asing.

Pada masa sama, dakwaan penipuan pilihan raya oleh pemimpin Afghanistan, Presiden Hamid Karzai menambahkan kos politik kepada Washington yang dituduh menyokong pemimpin yang semakin tidak popular itu.

Operasi tentera, terutama serangan bom oleh pesawat tanpa juruterbang - di Afghanistan dan kawasan berkaitan di Pakistan telah mengundang banyak kritikan kepada pemimpin popular AS, Presiden Barack Obama kebelakangan ini.

Ada pengkritik mula menggelar tindakan-tindakan yang diteruskan beliau sebagai gambaran penggal ketiga George W Bush.

Jumlah kematian dalam tragedi itu berbeza mengikut beberapa laporan, dengan kebanyakan media melaporkan lebih 90 terkorban.

Sejak Obama memegang jawatan presiden AS pada Januari 2009, tragedi di Kunduz itu ialah serangan kedua yang melibatkan kematian ramai orang awam.

Mei lalu, satu kawasan perkampungan di wilayah Farah diserang pesawat-pesawat AS, mengorban 140 orang menurut kerajaan Afghanistan.

Serangan itu berlaku pada masa Obama mula terdedah kepada kritikan tentang serangan yang sering mengorbankan orang awam, dan beberapa jam selepas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates dan Jeneral Mike Mullen, pengerusi ketua turus bersama bercakap tentang usaha mengelakkan kematian orang awam.

Gates pada masa sama menjawab kritikan dengan menegaskan pentadbiran Obama tidak hilang fokus terhadap perang itu, dan menolak gesaan menarik keluar anggota tentera AS.

Pada masa sama, Obama sedang mempertimbangkan tambahan anggota tentera AS ke Afghanistan, katanya untuk membantu melindungi orang awam.

Sebanyak 68,000 anggota tentera AS berada di Afghanistan, agenda dasar luar utama pentadbiran Obama pada masa ini.

Obama dilihat telah mengambil tindakan yang salah apabila memilih untuk menumpukan operasi tentera AS di Afghanistan.

Tambahan pula, wujud perbezaan pendapat sama ada untuk menjadikan misi itu menumpukan pada usaha pembinaan semula Afghanistan atau operasi ketenteraan untuk memerangi Taliban dan teroris.

Berdasarkan serangan terbaharu itu, kelihatan tumpuan utama ialah operasi ketenteraan, yang semakin mengundang kritikan kepada Obama.

Secara teknikal, serangan itu diperintahkan oleh pasukan tentera Jerman, yang mendakwa tangki minyak yang ditawan Taliban itu mendedahkan tentera Jerman berhampiran kepada bahaya.

Menteri Pertahanan Jerman, Franz Josef Jung mempertahankan tindakan itu, yang dikritik Menteri Luar Perancis Bernard Kouchner sebagai satu kesalahan besar.

Perselisihan itu mendedahkan perbezaan pandangan yang semakin luas dalam operasi pasukan Barat di Afghanistan, menambahkan beban kepada Obama ketika semakin ramai wakil rakyat Demokrat mula bersikap kritikal terhadap perang itu.

Sokongan dari Eropah untuk operasi di Afghanistan juga semakin merosot, dengan pemimpin-pemimpin negara terbabit juga terpaksa berdepan kritikan dari dalam negara masing-masing.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Inggeris Gordon Brown terpaksa berdepan kritikan rakyatnya terhadap perang itu.

Sebuah akhbar AS melaporkan, operasi Afghanistan semakin sukar bagi Obama sehingga memaksanya bergantung pada sokongan pihak Republikan, yang masih kuat menyokong operasi tentera itu.

Laporan itu juga menyebut, hasil satu tinjauan pendapat, berbanding beberapa bulan lalu, semakin ramai rakyat AS mahu jumlah tentera AS di Afghanistan dikurangkan.

Satu lagi tinjauan pendapat menunjukkan kini 57 peratus rakyat AS menentang perang di Afghanistan.

Perkembangan terbaharu ini menunjukkan usaha yang semakin sukar bagi Obama untuk memenangi perang di Afghanistan, dengan dua medan penting, sokongan rakyat AS dan sekutu-sekutu Eropah semakin merosot.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan