Ahmad Said Ada Ilmu Pak Dogol

MACAM juga hal di Perak politik Terengganu juga tidak sudah-sudah dan tidak habis-habis. Keadaan macam hujan di musim tenkujuh saja. Kalau di Perak bekas MB dan barisan Exconya hendak kembali berkuasa, di Terengganu krisis berlaku antara sesama Umno sendiri. Kumpulan bekas MB, Idris Jusoh (Dris) dengan MB, Ahmad Said (Mat Said) (foto).

Kelainan berbanding politik Terengganu dengan Perak ialah, di Perak masih berlaku perbuatan dan tindakan yang anih dan ganjil seperti bersidang di bawah pokok atau di hotel. Di Terengganu tidak pula berlaku begitu. Apakah kalau Idris Jusoh dan kumpulannya cukup korum akan berlaku persidangan atas gerai atau pun atas wakaf?

Manakala Pas di Terengganu sendiri hanya menjadi pemerhati sahaja. Cuma sesekali jadi tukang cuit atau tukang laga utuk melihat sejauh mana gelepar dan gelenyahnya orang-orang Umno. Pas sendiri dalam diam kita percaya sedang mencari peluang untuk menangguk, tetapi sehingga ini air di Terengganu belum keruh sangat lagi.

Puak Dris tidak habis-habis nak menyusahkan Mat Said. Rasanya sudah berpuluh perundingan, janji, ikrar, pertemuan (cuma mubahalah) saja tidak dilakukan untuk berdamai. Semua kaedah dan formula lain dicari dan dibuat. Tetapi semuanya tak jadi, semuanya bertaraf ‘cap ayam’ belaka.

Puak Dris bila berdepan dengan pemimpin tertinggi; baik Najib Razak, Muhyiddin Yassin atau Hishamuddin Hussein semuanya angguk, macam pak ka (chameleon) yes yes berjanji untuk selesaikan masalah. Tetapi bila pemimpin itu hilang, suasana asal kembali semula. Mat Said terus diusik dan dipermainkan. Formula atau nasihat Najib, Muhyiddin dan Hishamuddin tidak diendahkan langsung.

Apakah kegagalan menyelesaikan masalah Umno Terengganu ini menunjukkan kelemahan dan kurangnya wibawa dan sengat pengerusi perhubungannya?

Tampaknya politik Umno Terengganu tidak mudah untuk sendek. Ia akan tetap bergulung dan bergelombang macam laut Cina Selatan. Kalaupun kumpulan Dris Jusoh jadi MB, tentu ada juga pihak lain yang menyerang dan menyanyi lagu-lagu sinis seperti 'itik gemol-gemol' dan seagainya.

Kalau Mat Said turun pun Dris Jusoh sudah pasti tidak akan dapat jadi MB lagi. Belum ada sejarah orang politik yang dimurkai sultan atau tidak diperkenankan sultan dapat kembali ke tempat asalnya. Bukankah Dris menghadapi masalah dengan Sultan Mizan? Makanya kalau Mat Said berjaya dihancurkan Dris tetap tidak akan jadi MB. Jadi apakah sebenarnya tujuan Dris menyerang dan tidak mahu ikhtiraf Mat Said?

Jadi tentu ada orang lain yang akan jadi MB kalau serangan kumpulan 10 itu berjaya. Selain Tengku Tera, nama disebut ialah Rosol Wahid. Orang lain nampaknya tukang ikut ataupun tukang betul tali sauh sahaja. Mana tahu kalau ada rezeki dapat pegang jawatan Exco, setakat itu sajalah. Perangai pak turut ini tak lebih macam budak-budak yang sudah masuk dalam geng samseng... ikut saja tanpa ketahui apakah matlamat dan hasilnya. Saja nak berhora hore.

Kalau Rosol jadi MB beliau juga tidak akan senang. Dia juga akan diserang dan dipersendakan oleh orang yang kini menyokong Mat Said. Apakah di Terengganu tidak ada seorang pun menyokong Mat Said?

Jangan perkecil dan permudahkan Mat Said. Walaupun dia diam, atau pun ambil sikap tidak kesah, buat muka selamba tetapi dia mendapat perkenan sultan. Maknanya selagi sultan mahukan dia, Mat Said akan jadi MB kecualilah Umno sudah hilang majoriiti di DUN Terengganu.

Begitu juga takdirnya kumpulan Dris sudah tidak mempercayai kepada Mat Said lagi sehingga menyebabkan kerajaan Mat Said akan tumbang, ia juga tidak automatik memberi peluang kepada Dris atau wakilnya jadi MB. Bila jadi keadaan itu tentu Mat Said atas kapasitinya akan istyharkan DUN Terengganu dibubarkan. Jalan penyelesaian terbaik ialah dengan membubarkan DUN.

Persoalannya kini kenapa isu di Terengganu susah untuk beres? Jawabnya kerana ada campur tangan pihak luar. Khabarnya ada juga kalangan beberapa kerat pihak yang mengakui orang istana memberi inspirasi kepada kumpulan Dris ini. Kononnya kumpulan inilah yang menjadi jambatan cuba membaikpulihan hubungan Dris dengan sultan? Kumpulan inilah yang mempengaruhi Hishamuddin supaya menukar MB Terengganu!

Campur tangan luar ini juga jelas bila mana media massa arus perdana yang berjiwa Umno sendiri juga turu sama mempersenda dan mempermainkan Mat Said. Jika tidak ada restui pemimpin Umno sudah pasti akhbar berkenaan tidak sedia menjadi curang kepada perjuangannya. Yang jelasnya gangguna politik Terengganu atau
remotenya berada di Kuala Lumpur bukan di Jertih ataupun di Dungun.

Segala idea dan perancangan dibuat di luar Terengganu. Tenguk tentang ugutan bunuh ke atas wakil rakyat menerusi SMS satu masa dulu sehinggakan wakil rakyat berkenaan tidak berani masuk dewan, ia bermula di mana? Bukankah ia bermula di Bangi, Selangor? Lucu mengenangkan peristiwa itu, nak jadi pejuangan macam mana kawan sendiri ugut pun dah kecut perut!

Begitu juga cerita dengan ‘pak pandir’ 10 Adun hendak menyertai PKR, juga digagaskan di Kuala Lumpur. Idea itu tidak kurang dan tidak lebih sengaja nak ugut Mat Said sahaja. Untuk menganggui tidur Mat Said. Walhasil apa jadi kemudiannya, orang-orang berkenaan juga membuat penafian. Inilah politik wayang kulit daun rambai di Terengganu. Tahu wayang kulit daun ramai? Wayang kulit yang dimainkan oleh budak-budak dibangsal pondok-pondoklah...

Sebagai pemerhati yang sesekali menjenguk dan tersilau politik Terengganu saya merasakan Mat Said bukan mudah untuk ditumbangkan. Mat Said ada ilmu dan pendinding atau kekuatan dirinya sendiri. Jangan main dengan Mat Said? Kalau dalam wang kulit, Said ialah anak saudara kepada Pak Dogol. Pak Dogol pula ialah orang yang sakti bermulut masin, tahu firasat dan penyabar.

Mungkin ilmu Pak Dogol dimiliki Mat Said maka itulah beliau dapat bertahan. Tetapi walaupun sabar, akhirnya kelmarin Mat Said bersuara juga untuk saman akhbar kerana membuat fitnah kepadanya. Beliau memberi masa seminggu untuk akhbar itu minta maaf kalau tidak akan disaman. Pada saya Mat Said tak payah saman, biarkan sahaja akhbar itu bermain dengan anginya sendiri. Rakyat Terengganu tidak pun mempedulikannya.

Yang penting Mat Said kenyangkan rakyat, buat pembangunan untuk rakyat. Jangan layan insan politik yang frustasi. Khabarnya menjelang raya ini seramai 160,000 kelurga miskin di Terengganu akan menerima habuan. Tentulah pemberian itu diterimakasih oleh rakyat. Saya percaya doa rakyat akan merestui kepimpinan Mat Said. Sebab rakyat tidak pernah tahu apa itu agenda politik yang penting perut mereka kemas dan keselamatan mereka terjamin, beres. Maka pemimpin sebegitulah yang mereka akan sokong.

1 ulasan:

  1. Maaf saya cakap..
    Melihat daripada apa yang berlaku, pihak media dan ahli2 politik di terengganu hanya 'syok sendiri' dan sengaja sensasikan sesuatu isu di terengganu. ( Tanya generasi muda terengganu - Mereka takkan dedahkan perkara sebenar ).

    Jawatan MB bukan isu utama dalam kekalutan di terengganu..
    Memang terengganu dah ada 2 kumpulan / puak.
    Jumlah rakyat terengganu lebih besar jika dibandingkan jumlah kedua2 puak berkenaan..
    Saya rasa tak guna pihak media dan penyokong2 kumpulan berkenalan sensasikan isu2 ini lagi..
    Renung dan fikir2kan..




    Kebanyakkan rakyat terutama generasi muda tak kisah pun siapa MB malah ada yang langsung tidak kisah.

    Mereka 'ganyang' mcm mana sekali pun di terengganu adalah sukar untuk mereka mengubah persepsi generasi muda di terengganu..



    Bak kata mereka..
    Dengar saja boleh.. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
    Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.. :-)









    Semalam Adalah Sejarah. Hari Ini Adalah Hadiah.
    Esok Adalah Misteri.... Jangan permudahkan
    ;-)
    >>> Blog 1 Malaysia <<<

    BalasPadam