Mohd Nor Yahya | |
GUA MUSANG, 29 Sept: Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi pesanan kepada semua petugas parti PAS yang akan dan sedang bertungkus lumus di Dun Bagan Pinang agar berjuang untuk menegakkan agama Islam bukan untuk parti PAS semata-mata. Beliau berharap walaupun Bagan Pinang sebelum ini adalah milik umno-BN,tetapi ia tidak mustahil akan beralih kepada PAS berdasarkan senario politik semasa yang berlaku sekarang ini. "Kini kita tengok sudah banyak PRK yang berlaku dan Alhamdullillah berpihak kepada Pakatan Rakyat dan sebelum ini di Parlimen Kuala Terengganu walaupun milik umno tetapi PAS berjaya mengambil alih dan ini adalah berkat kerjasama Pakatan Rakyat,"katanya lagi. Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis sambutan Jubli Perak Maahad Muhammadi Gua Musang semalam,turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam,Pendidikan dan Dakwah,Dato Mohd Amar Nik Abdullah. "Penglibatan orang Islam tidak kira piliharaya umum maupun kecil,seharusnya diajar berjuang untuk Islam bukannya parti kerana kalau berjuang kerana parti,lepas sahaja pilihanraya kita hanya ada dua iaitu menang atau kalah, tetapi kalau berjuang kerana Islam ia melibatkan Syurga atau Neraka,"katanya lagi. Sebelum itu, beliau menyeru warga di Gua Musang agar menjadikan sumbangan derma kepada tempat-tempat yang berfaedah diteruskan sepanjang masa. "Kita orang Islam seharusnya menyediakan sebanyak mungkin bekalan pahala untuk digunakan di akhirat nanti,caranya mudah sahaja iaitu salurkan wang ringgit ke tempat-tempat yang membawa kebaikan seperti pembinaan masjid,asrama sekolah untuk anak-anak kita dan sedekah,"ujar beliau. Maahad Muhammadi Gua Musang yang sudah menjangkau usia 25 tahun menyambut jubli peraknya tahun ini mempunyai seramai 840 pelajar dengan guru seramai 52 orang kini memerlukan sumbangan derma dari orang ramai untuk membina sebuah asrama bagi menempatkan pelajar terutamanya dalam aliran tahfiz. Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan derma ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad,nombor akaun : 03-063-01-000330-5. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan