Hari Raya Sekarang dan Dalam Kenangan

Kadir Jasin

SALAM EID MUBARAK kepada Muslimin dan Muslimat. Selamat bercuti kepada yang bukan Muslim.Bermaaf-maafanlah kita. Selamat menjamu selera. Tetapi jangan berlebihan. Selamat memandu. Kelajuan berbahaya. Tetapi ketidaksopananlah yang sering meragut nyawa.

Seri Perdana telah dibuka semula kepada pengunjung pada Hari Raya tahun ini. Ia ditutup selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkannya.

Eloklah begitu. Setidak-tidaknya bolehlah rakyat jelata merasa, walaupun buat seketika, berada di rumah paling berkuasa di bumi Malaysia.

Bila kita sudah dewasa, apatah lagi sudah tua, raya tidak lagi sama. Tidak semeriah seperti ketika kanak-kanak dan remaja.

Yang tinggal hanya kenangan mengenai kegembiraan mendapat sepasang kasut kulit pertama menggantikan kasut Foong Kiong dan Bata. Melecur tumit dimakannya.

Menjelang tengah hari, kasut tidak lagi di kaki. Terpaksa dijinjing atau disangkut atas bahu. Habis kotor seluar dan baju.

Di kampung-kampung di Kedah pada tahun 1950an dan 1960an, jarang sangat orang berbaju Melayu. Orang dewasa lelaki berkain pelekat dan baju teluk belanga manakala wanita berbaju kurung, kebaya atau baju Kedah.

Kanak-kanak berseluar dan baju biasa. Itu pun bagi yang mampu. Kalau tidak, pakaian sekolahlah. Bezanya pakaian seragam itu akan dikanji keras dan diseterika dengan “
side” yang tajam.

Duit raya kalau 10 sen sudah cukup hormat. Dua puluh atau 30 sen sudah macan kena loteri. Maklumlah penanam padi dan penoreh getah manalah ada duit.

Kalau boleh kumpul dua atau tiga ringgit dalam masa dua atau tiga hari sudah cukup hebat. Boleh joli.

(Joli ni kalau tak silap saya daripada perkataan Inggeris “
jolly” yang bermaksud bergembira, tapi kita tukar jadi berbelanja besar atau boros. Memang kita pandai pinjam bahasa asing kemudian bagi maksud sendiri!)

Kita pun pergi pekan. Makan mi rebus di kedai Mamak 30 sen. Tambah sotong jadi 35 sen. Air sirap 10 sen, ais kacang 15 sen. Ais kepai 10 sen meleleh hingga ke siku.

Nak tengok wayang kena ke Pendang. Naik basikal lima kilometer atas batas ban. Panggung lama jenis terbuka jadi boleh tayang waktu malam saja. Hanya bilik tayangan (
projection room) dan layar ada bumbung.

Dinding diperbuat daripada zing. Di keliling panggung banyak pokok. Ramai tengok percuma dengan panjat pokok.

Bila dibina panggung baru di dalam kebun getah, baru ada tayangan siang hari. Bila tayangan hendak dimulakan, lagu tema filem
The Bridge Over River Kwai oleh David Lean dimainkan.

Dulu, hari-hari akhir Ramadanlah yang paling mencabar. Alang-alang iman pecah puasa sebab emak buat kuih buah hulu dan ketupat. Ayah bakar lemang.

Budak-budak sekarang dah jinak. Ramai yang dari kindergarten lagi sudah belajar berpuasa. Kita dulu kuat curi tulang dan puasa yang yuk, pagi-pagi buka periuk.

Balasannya budak-budak sekarang mewah, duit raya sampai berpuluh ringgit dan pakaian dua tiga pasang. Tetapi kita kena ingat masih ramai lagi orang kita yang miskin, melarat dan menderita.

Beberapa malam lalu saya pergi minum teh di Bangsar. Malu jadi orang Melayu dan Islam. Ramainya orang Melayu/Islam mengemis, meminta sedekah daripada orang Islam dan bukan Islam.

Apa dah jadi dengan Kementerian Kebajikan. Adakah lagi kementerian macam itu? Apa dah jadi dengan duit zakat dan Baitulmal?

Di Damansara pula, tak senang duduk diganggu pengemis dari Negeri Cina. Apa dah jadi dengan kita?

Menteri sibuk cakap fasal KPI. Tapi nampak sangat negara kita dah balik jadi negara Dunia Ketiga. Malu.

Akhir kalam, saya ucapkan salam Aid ul-fitr khas kepada pembahas, “
followers” dan pembaca blog ini. Maaf zahir batin.

http://kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan