Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadan

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Saya he
ndak tekan dunia ini bukan kita yang punya. Bumi, langit, udara, air hujan dan segalanya dicipta Allah Taala untuk manusia. Dan ia bukan terjadi sendiri. Kita tanpa mengira bangsa apa sekali pun hanya menumpang di atas bumi Allah. Kalau semua kemudahan itu tidak ada maka mati semua manusia. Tidak ada satu pun syarikat yang boleh buat bumi, udara, gandum, beras dan segala kemudahan asas bagi keperluan manusia untuk hidup

Hatta seekor anak bilis pun tidak ada kerajaan yang boleh buat. Dari segi sains pun kata begitu, lebih-lebih lagi al Quran. Kita menumpang segala kemudahan itu dan bukan mendapat percuma. Segala itu akan dituntut bayaran. Tuntutan bukan bayaran dengan duit tetapi tuntutan takwa kepada Allah Taala.

Perkataan takwa mengandungi positif dan negetif. Kita kena buat apa Tuhan suruh dan tinggal apa yang dilarang. Misalnya saya sebagai Menteri Besar kalau pergi ke rumah orang tidak boleh pandai-pandai naik ke atas rumahnya tanpa izin. Inilah kelemahan kita apabila sudah menjadi orang besar mahu berlagak seperti Tuhan.

Inilah kesilapan yang perlu kita renungi. Kewajipan kita sedar kerana menumpang di atas bumi Allah. Di akhirat kelak akan dihancur semua dunia ini dan diganti dengan alam akhirat.

Pembalasan di akhirat kelak sebagaimana disebut dalam al Quran. Buku yang digunakan Tuhan bagi menjatuhkan hukuman ke atas manusia di akhirat kelak ialah Quran.

Ini perkara pokok yang perlu rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa memikirkan. Kita mesti mati dan selepas mati kita akan hidup balik. Dan selepas hidup balik kita akan dihakimi sebelum dijatuhkan hukuman syurga dan neraka.



Iktikaf 10 akhir Ramadan



Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadan adalah ajaran agama. Iktikaf maksudnya kurung diri dalam masjid. Seumpama ayam, lembu dan kambing kita kurung supaya menjadi jinak.

Ini kerana nafsu kita bermuka dua, iaitu mendorong kepada kejahatan dan satu lagi kepada kebaikan. Dan melalui cara iktikaf di masjid kita dapat kawal dengan cara iktikaf di masjid.

Rasulullah saw pada 10 hari terakhir Ramadan iktikaf di masjid. Sebelum Rasulullah saw menjadi nabi baginda bertapa di dalam Gua Hiraq.

Dan selepas baginda menjadi nabi sistem bertapa di dalam gua tidak lagi diamalkan dan Rasulullah saw bertapa pula dalam masjid. Bertapa di dalam masjid lebih praktikal. Ini kerana kita didatangkan ke dunia ini bukan untuk kita seorang sebaliknya untuk kita dan masyarakat.

Kalau kita duduk di masjid kita boleh tegur orang dan orang juga boleh tegur kita, tetapi kalau di dalamm gua tidak ada orang yang hendak tegur.

Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari lebih baik, tetapi kalau tidak setiap kali masuk masjid hendak sembahyang berjemaah lima waktu kita niat iktikaf.

Bila niat iktikaf kita merasakan diri kita dikurung di hadapan Allah Taala.

Amalan tadarus dan tarawih tidak ada dalam agama lain. Nabi Muhammad saw bertadarus dengan Malaikat Jibrail tiap-tiap tahun.

Oleh itu saya nasihatkan semua ahli dan penyokong PAS mesti bertadarus. Saya sendiri ada tiga al Quran yang digunakan setiap hari iaitu di masjid, pejabat dan rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan