Jangkitan rasuah bila berkuasa: PAS pun akan jadi macam Umno? / UBN Najib Altantuya

Apakah nasib yang sama akan menimpa PAS apabila mereka berkuasa? Kalau tidak dibendung dari awal, kemungkinan PAS akan menerima nasib yang sama seperti Umno.

Oleh MOHAMAD SABU

Walaupun kerajaan Barisan Nasional telah berusaha dengan pelbagai cara untuk menghapuskan dan mengurangkan amalan rasuah di Malaysia, tetapi umum melihat amalan rasuah semakin menjadi-jadi. Kenyataan terbaru dari Transparency International (TI) menunjukkan bahawa amalan rasuah di Malaysia bertambah teruk.

Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang diwujudkan semenjak zaman Tunku Abd Rahman, sudah dinaikkan taraf menjadi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Dengan bertaraf suruhanjaya, maka kuasa SPRM amat luas dibandingkan dengan kuasa semasa bertaraf BPR; kuasa 'badan' dibandingkan dengan kuasa 'suruhanjaya'.


Kita mengucapkan tahniah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di atas keberanian beliau memperluaskan kuasa pihak yang ingin mencegah rasuah.

Ukuran indeks rasuah dikeluarkan setiap tahun oleh TI. Negara-negara Barat masih jauh mendahului negara-negara umat Islam dalam indeks rasuah. Kebanyakan negara Barat mencapai angka 8.0 ke atas dalam indeks rasuah yang meletakkan angka 10 sebagai bersih rasuah.


Malaysia dan Dubai masih di bawah 6.0, manakala negara-negara umat Islam yang lain berada di bawah 4.0.

Umat Islam sepatutnya merasa malu dengan situasi rasuah di negara mereka. Selalu para ustaz bila bersyarah hal Islam akan mengeluarkan hadis nabi kita, Muhammad s.a.w. bahawa Islam itu tinggi dan tida ada yang lebih tinggi daripada Islam.

Sebagai penganut Islam, saya amat akui kemuliaan hadis tersebut, tetapi dalam praktik harian kenapa orang Islam amat kuat mengamalkan rasuah?

Reformasi menyeluruh hendaklah dilakukan terhadap umat Islam supaya agama yang mulia dianut oleh orang yang mulia.

Selalunya berlaku dan dapat dilihat bagaimana pengumpulan kekayaan mendadak kepada orang politik apabila mereka mendapat dan menikmati kekuasaan. Antara rasuah, hadiah, saguhati, sedekah, infak kadang kala bercampur aduk. Pemberi dan penerima "rasuah" boleh mencipta pelbagai istilah untuk dilihat bersih walaupun akhirnya ia tetap kotor.

Seolah-olah orang politik mesti kaya atau dilihat kaya. Untuk memenuhi tuntutan rakyat, maka orang politik terpaksa atau dipaksa menderma. Untuk mendapatkan wang tentulah melalui derma-derma dari kapitalis-kapitalis perniagaan. Derma dari rakyat sudah dianggap tidak popular.

Pemimpin politik dan tokoh perniagaan mesti berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Justeru, gelaran seperti Tun, Tan Sri, Dato' Seri, Dato' mesti diburu. Kalau gelaran tidak dapat diperolehi secara biasa, maka pembelian gelaran diusahakan.

Di peringkat awal penubuhan Umno, ahli-ahli dan pemimpinnya menderma dan berkorban untuk perjuangan parti. Umno tidak ada wang di tahun-tahun 40-an,50-an, dan 60-an tetapi parti mereka amat kuat. Sekarang Umno menuju kehancuran kerana pemimpin mereka banyak wang.

Apakah nasib yang sama akan menimpa PAS apabila mereka berkuasa? Kalau tidak dibendung dari awal, kemungkinan PAS akan menerima nasib yang sama seperti Umno.

Semua kerajaan atau empayar Islam ranap kerana rasuah dan kehidupan mewah para pemimpin, sama ada bergelar khalifah, amir atau maharaja. Apabila unsur Firaun, Haman dan Qarun melanda kerajaan Islam, maka rakyat meluat dan memberontak terhadap kerajaan, seterusnya memudahkan Barat masuk dan menjajah dunia Islam.

Umat Islam mesti bersedia mengikut contoh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai uswatun hasanah. Kehidupan baginda amat sederhana sebagai ketua negara, dan ini mesti diteladani. Penghormatan kepada Islam akan timbul secara spontan, dan seterusnya rakyat menerima Islam di atas
kemuliaan pengamal agama tersebut.

Umat Islam mesti melakukan proses reformasi, terutama untuk membanteras rasuah, secara bersungguh-sungguh. Jangan jadikan orang lain sebagai contoh utama, selain daripada Nabi kita Muhammad s.a.w.

Wajar sekali kita merenung teguran Abu Zar al-Ghifari r.a. kepada Muawiyah r.a: "Kalau kamu membina istana yang besar dengan wang sendiri, ia membazir dan pembaziran adalah amalan syaitan. Tetapi kalau kamu membina istana besar dengan wang rakyat, ia adalah haram."

Perangilah rasuah sama ada terhadap pemberi atau penerima. Muliakanlah Islam melalui reformasi sosial secara bersungguh-sungguh.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan