JIM: Memadai Jeff tarik kenyataan 'ekstremis'

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) berpuas hati dengan ahli parlimen DAP Jeff Ooi yang menarik balik kenyataannya menuduh NGO itu sebuah pertubuhan ekstremis, kata presidennya.

"Keputusan JIM (Pulau Pinang) bersama-sama dengan Forum Penyelarasan Umat (Forum), kita (di peringkat pusat) tidak bantah walaupun ia dapat diselesaikan.

"Tetapi bagi JIM (pusat), beliau (Jeff) menarik balik, sudah memadai," kata Zaid Kamaruddin.

"Bagi JIM, (beliau) minta maaf atau tidak minta maaf, terpulang kepada rakyat untuk membuat penilaian."

zaid kamaruddin interview interfaith 010606 talkingTerserah kepada JIM Pulau Pinang untuk mengambil tindakan lanjut dalam isu itu sesuai dengan pandangan mereka yang tersendiri mengikut konteks umat Islam di negeri itu, tambahnya.

"Ia adalah pendirian Forum, bukan pendirian JIM di peringkat pusat walaupun JIM Pulau Pinang nampak isu ini belum selesai, ia adalah antara Jeff Ooi dengan umat Islam," katanya kepada
Malayskini petang ini.

Zaid diminta mengulas tindakan Forum semalam yang melancarkan kempen mengutip 100,000 tandatangan bagi mendesak Jeff, anggota parlimen Jelutong, memohon maaf dan meletak jawatan berhubung kenyataan tersebut.

Jeff menarik balik kenyataannya awal bulan lalu tetapi enggan memohon maaf kepada NGO Islam itu.

Forum, yang diketuai seorang pemimpin JIM negeri Md Roslan Hashim, dilaporkan mendapat sokongan 30 NGO Islam di Pulau Pinang, termasuk JIM negeri.

Zaid menegaskan kenyataan Jeff itu tidak menggugat nama baiknya kerana ia bukan sebuah NGO Islam yang melampau.

"Jeff menarik balik kenyataannya, kita rasa tidak menjejaskan JIM kerana kita bukan ekstremis.

"Ramai orang tahu, JIM bukan pertubuhan ekstrimis. (Kenyataan) itu kesilapan Jeff dan dia menarik balik atas permintaan (ketua menteri) Lim Guan Eng," katanya.

Mengulas cadangan Forum untuk menemui Lim berhubung keengganan Jeff memohon maaf dan meletakkan jawatan, Zaid berkata:

"Saya rasa tindakan itu elok, agar isu ini diselesaikan dengan perundingan dan perbincangan".

Tambahnya, beliau juga optimis isu ini dapat diselesaikan sekiranya dapat ditangani dengan baik dengan menjaga hati semua pihak.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan