Nazri Abdullah | |
KUALA LUMPUR, 16 Sept: Ekoran pembebasan lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam. Biarpun bersyukur dan menyambut baik keputusan kerajaan, namun Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menganggap isu sebenar akta tersebut masih belum terjawab. Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, GMI melihat pembebasan tersebut penuh dengan keraguan. Persoalan- persoalan teras terhadap kezaliman akta itu belum dijawab kerajaan biarpun berlaku pembebasan. Antara yang perlu dijelas kerajaan katanya adalah berhubung asas penahanan, kesalahan dilakukan sehingga ditahan lapan tahun sebelum dibebaskan serta kenapa berlaku pembebasan terpilih. "Kita menyambut baik, gembira dan bersyukur bagi pihak tahanan dan keluarga dengan pembebasan ini. Namun kita tetap persoal beberapa benda pertama kenapa ditahan awal dulu, kenapa baru sekarang dibebaskan, dan kenapa lima orang sahaja dibebaskan? " soalnya ketika dihubungi Harakahdaily. Menurtnya, mangsa tahanan yang telah dibebaskan perlu diberitahu kesalahan mereka. Sekiranya tiada bukti jelas kesalahan tersebut dilakukan, mangsa perlu diberi pampasan setimpal dengan kesengsaraan yang ditanggung selama tempoh tahanan dalam penjara. Katanya lagi, sehingga berita ini ditulis, GMI masih belum dimaklumkan secara rasmi oleh kementerian berhubung pembebasan tersebut. GMI setakat ini hanya mengetahui perkembangan terbaru itu melalui media dan isteri salah sorang tahanan yang dibebaskan melalui panggilan telefon. Mengulas lanjut, Syed Ibrahim memberitahu beliau yakin tindakan kerajaan itu adalah hasil kejayaan rakyat yang tidak pernah berhenti memberi tekanan kepada pihak kerajaan dalam usaha menuntut pemansuhan akta yang di dakwanya zalim itu. GMI yang ditubuhkan sejak tahun 2001 telah menggerakkan rakyat secara berterusan membantah kewujudan ISA. Kali terakhir himpunan terbesar dianjurkan mereka 1 Ogos lalu di ibu negara turut disertai kesemua parti politik pembangkang dan lebih 80 pertubuhan bukan kerajaan NGO. "Ini hasil usaha gigih dan berterusan GMI bersama rakyat dan saya percaya kemuncak himpunan 1 Ogos lalu telah memberi kesan," katanya lagi. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Husein semalam mengumumkan pembebasan lima tahan ISA yang ditahan antaranya hampir lapan tahun. Kesemua mereka adalah Mat Sah Mohamad Satry, Mohd Nasir Ismail, Mohd Kamil Mohd Hanafiah dan Mohd Amir Hanafiah. Pembebasan tersebut kata menteri berkenaan dibuat setelah mendapati kesemua mereka telah insaf dan bersempena Hari Raya Puasa, tidak lama lagi. Biarpun dinafikan, banyak pihak yakin ia ada kaitan menjelang Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang bulan depan. Mengulas kenyataan itu, Syed Ibrahim sekali lagi mengulangi kenyataanya bahawa sebab pembebasan yang diberikan Hishamudin tidak konkrit dan meragukan. Persoalan kenapa ditahan, terbuktikah kesalahan dan kenapa perlu sampai lapan tahun, masih belum terjawab. Dengan persoalan yang belum terjawab itu katanya, GMI yakin hasrat kerajaan meminda akta tersebut sukar untuk diharapkan. " Kenyataan Hishamuddin memberi gambaran iklim ISA ini penuh ketidak tentuan." "Janji pindaan akta juga nampaknya kabur selagi rakyat boleh ditahan tanpa bicara dengan kuasa menteri dan polis," katanya. Perjuangan GMI katanya akan diteruskan selagi ISA wujud. Mengikut rekod mereka, baki tahanan selepas lima dibebaskan semalam adalah seramai 12 orang. Berbeza dengan laporan kementerian bahawa hanya sembilan masih ditahan. " Mengikut maklumat GMI, masih ada 12 orang ditahan, berbeza dengan sembilan dalam rekod kementerian. Mungkin ada pembebasan dibuat sebelum ini tetapi kita tidak dimaklumkan," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan