Salmah Mat Husain dan Zulkifli Sulong | |
KOTA BHARU, 17 Sept: Sukar untuk mencari sawah padi yang menghijau dalam masa yang sama ikan-ikan haruan, keli, sepat dan belut berenang riang di bendang sementara menunggu padi untuk dituai. Namun, keindahan bendang sebegitu kini hidup kembali di sawah padi Kampung Tunjung, dekat sini. Ia berlaku kerana sistem yang digunakan adalah mesra alam sepenuhnya iaitu sistem organik. Tiada lagi racun rumpai atau serangga digunakan malah baja kimia juga tidak digunakan. Untuk menghadapi ulat, pepatung yang dijinakkan manakala untuk menghadapi tikus dan burong, helang digunakan. Inilah yang berlaku di sawah yang asalnya tanah terbiar di kampung Tunjong. Tapak 20 ekar ini disewa oleh Sunah Tani, sebuah syarikat yang digerakkan khas untuk menggalakkan penggunaan sistem organik bagi menghasilkan padi organik di Kelantan. (Gambar:Padi yang subur sebelum dituai di sawah padi organik Tunjung, Kota Bharu) Ia diusaha khusus dengan idea dan kesungguhan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam bagi membentuk satu sistem tanaman padi yang mesra alam di Kelantan. Seorang pejuang makanan organik dari Tasek Malaya, Bandung, Indonesia, Pak Aep Saepudin, 43, didatangkan khas untuk menjadikan cita-cita ini menjadi realiti. Pak Aep, sejak enam bulan lalu, secara sepenuh masa menghidupkan kembali tanah yang telah mati terbiar ini dan kini mula memberikan hasil. Terbukti, selepas empat bulan ditanam, mulai minggu ini sawah itu mengeluarkan hasil padi organik pertama di Kelantan. (Gambar:Pak Aep, pejuang dari Indonesia ini menunjukkan baja organik (mol) yang disediakannya. Ia dibuat dari bahan buangan dapur) Kerana kaedahnya yang mesra alam, ikan dan siput menumpang hidup di bendang berkenaan sebagaimana lazimnya yang terdapat di bendang-bendang sebelum penggunaan baja dan racun kimia. Baja organik yang diadun sedemikian rupa dari bahan terbuang seperti najis haiwan, daun kelapa dan berbagai lagi dapat mengembalikan keseimbangan ekosistem yang terjejas akibat pencemaran baja kimia dan racun. Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang berkesempatan menziarahi kawasan perintis projek penanaman padi tersebuk begitu kagum dengan kesuburan pokok berkenaan. Malah benih padi yang ditanamnya sendiri sebelum ini juga semakin subur dan menghijau. (Gambar: Husam menunjukkan padi organik pertama di Kelantan. Ia sememangnya semakin popular di Amerika, India, China dan Indonesia. Hanya Malaysia yang agak terkebelakang) Ketika ditemui, Tuan Guru berkata dengan penggunaan baja organik banyak memberi kelebihan pada tumbuhan khususnya padi kerana ianya bebas dari racun. "Apabila air dan udara tidak beracun, ikan ikan dapat menumpang hidup di bendang berkenaan, saya tengok sendiri keca (spesis siput) juga sudah ada begitu juga belut. "Jadi apa tujuan kita masih menggunakan baja kimia yang banyak mendatangkan kemudaratan sehingga mematikan alam flora dan faunanya,"soalnya. Menurutnya, beliau begitu seronok melihat pohon padi yang begitu subur menghijau di bendang berkenaan. Sehubungan itu, beliau bercadang supaya petani di setiap jajahan di negeri itu datang melihat sendiri projek perintis yang diadakan di Dun Salor itu sebagai bahan ilmu untuk mereka khususnya di kawasan penanaman padi seperti di Tumpat dan Pasir Putih. (Gambar: Nik Aziz gembira melihat padi organik yang subur diatas tapak sawah terbiar di Tunjung) Berdasarkan kejayaan penanaman padi berkenaan, tiada sebab usaha penggunaan penanaman padi secara ini digunakan oleh petani di seluruh Kelantan. Katanya, beras yang dihasilkan dari baja organik juga dijamin lebih selamat berbanding baja dari bahan kimia. "Mengikut kajian kesihatan juga penyakit pelbagai jenis yang dihadapi oleh manusia sekarang akibat penggunaan bahan kimia dalam pemakanan. "Bila pokok padi dibajari dengan kimia, padi akan menghasilkan beras dari bahan kimia, udara yang beracun, tak fasal fasal kita terlibat dengan racun,"ujarnya lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan