Perjuangan Akan Diteruskan - Norlaila / UBN Najib Altantuya

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 17 Sept: Selagi hayat dikandung badan, perjuangan menentang ISA bersama GMI dan rakyat akan diteruskan walaupun kerajaan telah pun membebaskan suaminya yang telah meringkuk di Kamunting selama hampir 8 tahun.

Katanya pembebasan suaminya dan empat tahan lain, adalah kerana tekanan dan kerja keras yang ditunjukkan oleh rakyat yang mahukan akta zalim ini dimansuhkan serta merta.

Sungguhpun suaminya telah dibebaskan dua hari lalu namun perjuangan beliau bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak akan terhenti begitu sahaja bahkan akan terus menyemarak sehingga akta itu dibubarkan kerajaan.

Beliau mendapat maklumat, bahawa kerajaan dan pihak berkuasa berharap denagn pembebasan suaminya ini, maka GMI dan perjuangannya akan 'lumpuh' dan dimansuhkan juga

GMI yang ditubuhkan sejak tahun 2001 telah menggerakkan rakyat secara berterusan membantah kewujudan ISA. Kali terakhir himpunan terbesar dianjurkan mereka 1 Ogos lalu di ibu negara turut disertai kesemua parti politik pembangkang dan lebih 80 pertubuhan bukan kerajaan NGO.

Malah, dalam Himpunan Mansuhkan ISA itu, Norlaila dan anaknya Suhaib, 16 tahun, adalah antara yang ditangkap dan dilokap oleh pihak polis.

"Ini hasil usaha gigih dan berterusan GMI bersama rakyat dan saya percaya kemuncak himpunan bebasr-besaran 1 Ogos lalu telah memberi kesan.

"Untuk berganjak tidak sekali. Selagi hayat dikandung badan, perjuangan menentang ISA ini akan saya teruskan," katanya kepada krew Harakahdaily yang berkunjung ke rumahnya pagi tadi.

Hadir di sisinya ketika wawancara itu, suaminya, Mat Sah Mohd. Satray, 46, bersama anak lelakinya Suhaib 16,

Walaupun gembira dengan pembebasan suaminya, Norlaila masih terkilan dengan pelbagai peraturan dan sekatan yang dikenakan ke atas suaminya sehingga membatas pergerakan dan masih dihukum seperti dahulu.

Mat Sah, dikenakan pengantunggan perintah tahanan di bawah seksyen 10, iaitu tahanan dalam daerah dimana menghad pergerakan beliau sekadar di kawasan tertentu, tidak boleh terlibat dengan sebarang aktiviti dan perlu melaporkan diri di balai polis Ampang setiap hari Isnin sehinggalah Jun tahun hadapan.

"Tak cukup lagi penyiksaan dan penderitaan yang dilakukan selama lebih 7 tahun kepada dia dan keluarga saya?

"Sampai dibebaskan masih lagi dicengkam dengan pelbagai sekatan dan hukuman. Inilah penganiayaan berterusan..." katanya kesal sambil menunjukkan dokumen perintah tahanan.

Selain itu, Norlaila merasakan 'tidak perlu' untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pembebasan ini kerana telah 'memisahkan' kasih sayang suaminya dalam tempoh yang lama di samping meninggalkan trauma dan pengalaman ngeri yang kesannya cukup mendalam kepada beliau dan anaknya.

"Kalau ditahan 7 hari, bolehlah...tetapi ini 7 tahun. Bagaimana dengan kesukaran yang dihadapi oleh kami anak beranak dan emosi yang cukup terganggu. Tak perlulah terima kasih...

"Saya hanya bersyukur kepada Allah SWT sahaja dan berterima kasih kepada rakyat malaysia yang menyokong perjuangan ini. Dan akta zalim ini memang wajib dimansuhkan," katanya yang mula sibuk dengan jemputan NGO, parti-parti politik dan pihak media yang mahukan maklumat terkini berhubung pembebasan suaminya dan empat yang lain

Mat Sah yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, ditahan pada April 2002 atas tuduhan terlibat dengan Jemaah Islamiah Malaysia (JI).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan