Azamin Amin/Foto Shukri Mohd | |
KUALA LUMPUR, 17 Sept: Kali ini giliran Mat Sah Mohd Satray, 46 pula menitiskan air mata. Begitu hening pagi tadi tatkala melihat kelibat isteri dan anaknya yang telah ditinggalkan secara paksa selama hampir 8 tahun. Mereka baru bersua jam 2 pagi tadi sehinggalah sekarang, masih tidak tidur lagi. Perasaan mereka bertiga anak beranak masih bercampur baur. Gembira, sayu dan terasa janggal pun ada. Tidak terbit kata-kata pada awalnya. Masing-masing melayan perasaan. Tepat jam 5 pagi, tiga beranak ini bersahur buat pertama kalinya setelah terpisah sekian lama. Rendang daging, telur mata kerbau dan nasi antara santapan. Dan juadah dijamu cukup berselera dan paling enak dirasa. "Perasaan saya masih bercampur-baur. Nak kata gembira sangat pun tak, sedih pun ada "Dan terkejut melihat anak yang dah besar...ketika saya tinggalkan usianya baru 9 tahun," demikian mukadimah Mat Sah ketika menceritakan perasaannya setelah dibebaskan. Mat Sah kelihatan agak susut badannya, mengenakan baju t-shirt berwarna putih dan berseluar 'track' hitam begitu tenang menerima kunjungan Harakahdaily seawal jam 9 pagi. Sambil duduk rapat dan erat dengan anaknya, Suhaib 16 seolah-olah tidak mahu lagi berenggang, Mat Sah dengan nada sebak merasa cukup pilu apabila mengenangkan anaknya itu membesar tanpa ayah. Dia dipaksa berpisah dengan anaknya, pada April 2002, apabila sepasukan polis dengan kekuatan 20 orang anggota datang menyerbu dan mengeledah isi rumahnya. Habis siling rumah dipecah dan tilam dibongkar. Malah malam yang sama, rumah abangnya juga turut disergah, disepah gara-gara pihak berkuasa menyangka abangnya itu Mat Sah. Semenjak itu, hanya doa dan gambar menjadi teman di bilik kurungan. Mat Sah, kemudiannya dikurung secara bersendirian selama tiga tahun, gara-gara isterinya Norlaila Othman begitu lantang memperjuangkan nasib suami dan tahanan yang lain termasuk 'menyerbu' bekas Perdana Mneteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya dengan memo bantahan di tangan. "Saya dituduh salah akidah. Terlibat JI, KMM, Wahabi dan sabotaj Pelabuhan Klang...dipaksa mengaku salah... "Kenapa perlu mengaku kerana saya tidak bersalah. Oleh kerana itu, tempoh tahanan saya dilanjutkan setahun ke setahun...," kata Mat Sah dengan nada yang serak dan perlahan. Selama 8 tahun itu, dia memendam rasa rindu teramat sangat terhadap anak dan isteri namun menguatkan hati yang adakalanya 'kecundang' dengan membasahkan bibir dengan kalimah ayat-ayat suci al-Quran sehingga dapat menghafal banyak surah-surah panjang. "Kalau terlalu rindu sangat, peluk bantal yang dilekatkan gambar anak...," katanya sambil sesekali menjeling Suhaib. Beliau menceritakan, tiada aktiviti dan program khusus di Kamunting, tetapi meluangkan masa dengan banyak membaca buku dan bergaul dengan rakan-rakan. "Pagi-pagi kami disuruh keluar mengadap bendera menyanyi..lepas itu aktiviti sendiri. Cuma enam bulan sekali polis datang soal siasat dan ada masa di bawa ke Kuala Lumpur untuk 'kursus' basuh minda ataupun betulkan akidah. "Diaorang selalu beritahu pentingnya ISA ini dan harap isteri saya serta GMI akan menghentikan perjuangan. Kata mereka jika, ISA tak ada, Malaysia akan huru hara dalam masa 5 bulan," jelasnya yang sekali-kali tidak setuju dengan pendapat mereka. Kata Mat Sah, penahanannya sudah jelas menunjukkan ISA tidak adil dan tidak menepati kehendak Islam dan secara berterus-terang tanpa takut memberitahu pegawai-pegawai soal siasat, bahawa Akta itu mesti dimasuhkan. Beliau pada awalnya tidak menyangka akan dibebaskan kerana sudah 7 kali ditipu oleh pihak berkuasa yang berjanji untuk melepaskkannya setiap tahun menjelang Hari Raya. Ditanya tentang persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma, Mat Sah tidak mempunyai sebarang perancangan memandangkan beliau perlu menyesuaikan diri dan berehat dengan keluarganya. Norlaila yang disisi kemudiannya mencelah cuba menerangkan realiti pahitnya kepada Harakahdaily. "Tak buat persiapan apa-apa...apa makna Hari Raya bila suami disekat tak boleh jalan malam, tak boleh keluar kawasan...dan tak boleh balik kampung. "Baju yang dipakai pun pinjam baju anak...'Mereka' ini semua tak fikir kesusahan orang. Dah bebas pun susahkan orang lagi...yang dia tahu buat peraturan sahaja," kata Norlaila. Bagi Suhaib, kepulangan Mat Sah sangat dinantikan walaupun terpaksa mengambil masa untuk serasikan diri dengan ayahnya. "Masa saya kecil, selalu jogging dengan ayah waktu cuti. Zaman kanak-kanak saya telah berlalu begitu sahaja tanpa ayah. "Dan selepas ini saya terpaksa ambil masa nak bersosial kembali dengan ayah, sebab terlalu lama." kata Suhaib meluahkan isi hati. Walaupun masih sebak, sesekali Mat Sah sempat bergurau dengan Harakahdaily tentang kematangan dan kedewasaan anaknya Suhaib yang tidak 'sempat' dikecapi dan dilihatnya. "Saya masih terkejut lagi melihat anak saya ini. Dia membesar tidak ikut kebiasaan, tidak diberi kasih sayang oleh seorang ayah. Tengoklah ni...bulu kaki pun dah tumbuh.." katanya tersenyum. Sambil itu, Mat Sah turut memberitahu makanan yang paling dirinduinya selama menjadi tahanan di Kamunting ialah Rendang Ayam dan Daging, dan sahur pagi tadi makanan kesukaan itulah menjadi menu hidangan sungguhpun bukan dari masakan isterinya. "Kalau di Kamunting, masak kari rasa tomyam, masak tom yam rasa ntah apa-apa... "Cuma adalah kawan-kawan tahanan yang pandai masak...terubat jugalah rasa nak makan sedap," kata bekas kakitangan Dewan Bahasa dan Pusataka itu. Norlaila yang tidak berkesempatan memasak kerana baru pulang dari Sabah bagi misi menyampaikan sumbangan derma Tabung Harakahdaily untuk 7 buah keluarga mangsa ISA. Beliau bersama anaknya dan Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman ke negeri bawah bayu itu pada 15 Sepetember lalu dan menerima berita pembebasan suaminya itu melalui panggilan dan sms rakan-rakan media alternatif. "Tak boleh tidur saya semalam dan pagi ni lagilah tak boleh tidur... "...sebab baru nak 'berkenalan' dengan orang yang dah hilang lama ni," kata Norlaila tersenyum. Ketika ditanya apa-apa perubahan isterinya sekembalinya daripada kem itu, Mat Sah kagum dengan isterinya yang menunjukkan komitemen dalam perjuangan menentang ISA dan sudah mula sibuk dengan jemputan dan aktiviti yang dirancang. "Dari segi cantik, macam biasa jelah...cuma nampak semakin sibuk dan aktif," katanya tersenyum melihat Norlaila yang kelihatan 'geram' dengan usikan suaminya itu. Buat sementara ini, kata Mat Sah belum sempat untuk berfikir akan akan perancangannya di masa akan datang seperti bekerja kembali apatah lagi dengan sekatan dan peraturan yang dikenakan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini. "Saya nak berehat dulu... dan mungkin selepas Hari Raya baru nak fikir, berniaga ke atau bekerja semula. Buat masa ini masih nak serasikan diri dulu dengan keluarga," katanya sambil mengakhiri perbualan dan berpelukan dengan krew Harakahdaily. Hari ini, Mat Sah yang baru 'berkenalan' dengan keluarganya 6 jam lalu, mempunyai jadual padat dengan tetamu, NGO, aktivis dan wakil pihak media yang bakal bertemu untuk mendapat kisah dan ceritanya. Ternyata, raut ceria dan bahagia terpancar di wajah ketiga-tiga beranak ini dan yang pasti Aidilfitri kali ini cukup beerti dan tidak lagi sunyi... |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan