Sukarnya menegur seorang sahabat sang tokoh

DINSMAN

Salam
Ramadan al-Mubarak semua! Sudah 14 hari kita berpuasa (di hari saya menulis ini). Alhamdulillah, masih ada lagi 15 atau 16 hari untuk kita merebut pelbagai peluang pahala yang ditawarkan oleh Allah yang maha pemurah kepada kita di bulan penuh barakah ini.

Tak mengapa. Di bulan yang sana sini ada tazkirah sekarang ini tak perlulah saya nak membebelkan tazkirah saya pula di ruangan yang sempit ini. Tetapi ada satu perkara yang melekat dalam kepala sejak beberapa hari ini, yang mengganggu kami beberapa orang sahabat, tak dapat nak selesaikannya.

Sesekali fikir hendak dibiarkan begitu saja, kerana ia melibatkan teritori orang lain. Tetapi difikirkan lagi, takut kalau dibiarkan ia akan merosakkan orang ramai, dan lebih daripada itu ia juga boleh merosakkan suatu perjuangan yang telah dibina bertahun-tahun dan sedang menuju ke puncaknya.

Jadi serba salah kami beberapa orang sahabat ini. Inilah masalahnya. Bukan masalah kami sahaja sebenarnya. Masalah banyak orang. Memang banyak orang dan banyak pihak telah bercakap mengenai perkara ini, menyatakan kebimbangan masing-masing, dan ada yang sekadar menyatakan tidak berkenannya mereka kepada seorang tokoh tersebut.

Ya, memang alkisahnya alkisah seorang tokoh yang sedang membina ketokohan dan wibawanya dalam sebuah ruang aksi yang cukup besar dan luas. Tak ada masalah di situ, selagi dia tidak menimbulkan masalah kepada orang lain. Tetapi apabila dia secara tidak disedarinya telah menimbulkan masalah kepada ramai orang dan pihak, maka dia pun menjadi masalah. Dan kami beberapa orang sahabat ini pun menghadapi masalahlah.

Masalahnya mudah saja. Bahawa kami berpendapat sang tokoh itu perlu ditegur. Perlu diberi kesedaran dan kefahaman, bahawa dia perlu menyedari beberapa perkara mengenai tindak tanduknya yang kurang wajar, dan perlu mengubah cara dan gaya kepimpinannya. Bunyinya mudah, memang. Tetapi nak melaksanakan apa yang difikir wajar dan patut dibuat itu - itulah yang menjadi masalahnya. Heh he ...

Kata kuncinya ialah tegur. Sebagai sahabat, sebagai kawan, hal yang difikirkan boleh membawa mudarat seperti itu memang perlu dan patut ditegur. Malah mungkin wajib bagi seorang sahabat menegur sahabatnya yang dilihatnya sedang bergerak menuju ke suatu gaung yang bahaya dan bahkan akan membahayakan dan memudaratkan ramai orang. Mungkin wajib hukumnya. Saya tak pasti. Ini kena rujuk kepada orang-orang yang pakar dalam perkara berkenaan.

Tapi itu perkara lain. Kita tak bercakap soal hukum di sini. Yang saya nak bincangkan ialah dari sudut situasi keserbasalahan kawan-kawan, sahabat-sahabat dan kolig-kolig (colleague) sang tokoh itu, yang mengenalinya dan lalu percaya bahawa kalau ditegur pun dia tak akan mudah menerimanya, atau dia pasti tak akan menerimanya.

Lalu sahabat yang seorang pun mengharapkan ada sahabat atau tokoh lain yang mungkin lebih layak dan wajar membuat teguran itu. Masing-masing pun mengharap, kerana masing-masing pun tak ingin melihat sang tokoh itu membawa kerosakan kepada 'masyarakat'nya.

Ya, inilah situasi yang dialami dan dihadapi oleh saya dan beberapa orang sahabat. Cakap-cakap dan bincang-bincang dan umpat mengumpat yang berulang-ulang di sekitar itu menyebabkan saya terdorong untuk membuat renungan agak mendalam ke dalam situasi itu.

Bukan setakat memikirkan kes yang berkenaan itu sahaja, tetapi saya mendapati ia adalah satu situasi yang banyak terjadi dan sering memerangkap ramai manusia ke dalam satu keadaan serbasalah yang akhirnya tidak membawa keuntungan kepada semua yang terlibat. Jadi sia-sialah sahaja semuanya. Bahkan kerosakan yang dibimbangi semua itu pun menjadi realiti, dan merugikan semua.

Itulah yang ditakuti. Banyak contoh teladan diketahui berlaku. Memang semua orang ingin menghindarinya, ingin kalau boleh hendak menegurnya dan memperbaiki apa yang dikira salah pada sang tokoh itu. Semua orang mengharapkan ada penyelesaiannya. Tetapi ...

Inilah masalahnya. Kenapa ia menjadi rumit? Padahal ia sebenarnya tidaklah begitu rumit. Ya, inilah manusia. Mudah, tetapi rumit. Rumit, tetapi mudah. Yang diperlukan ialah kebijaksanaan. Seperti diperlukan seorang Muhammad Al-Amin untuk menyelesaikan dengan cara yang begitu mudah suatu pertelingkahan rumit yang hampir mengakibatkan tercetusnya perang antara qabilah-qabilah Arab, ketika hendak meletakkan kembali Hajaral-Aswad kepada tempat asalnya itu.

Memang yang diperlukan ialah kebijaksanaan. Tetapi di manakah kebijaksanaan itu dalam dunia yang penuh dengan kepandiran dan kemunafikan (hipokrit) pada hari ini? Kebijaksanaan oh kebijaksanaan! Di manakah kau?

Barangkali di situlah masalah kita sebenarnya. Kehidupan atau tamadun hidup manusia hari ini yang penuh dengan kepandiran dan kemunafikan. Dan ini pun sebenarnya bukanlah sifat khusus manusia abad moden ini. Di zaman Rasulullah s.a.w. dulu pun ramai manusia yang munafik, walaupun yang bernama Abdullah bin Ubai itu hanya seorang. Dan kata Qosim sahabat saya, hari ini terlalulah banyak manusia jenis Abdullah bin Ubai ini.

Jangan pandang ringan pada peranan manusia Abdullah bin Ubai hari ini, kata Qosim. Besar pengaruhnya. Termasuk juga dalam masalah sang tokoh yang menjadi masalah kepada kita sekarang.

Dan kita pun perlu periksa diri kita juga, kata saya. Sebersih manakah diri kita daripada unsur-unsur kemunafikan itu? Jangan kita tidak menyedari yang sifat jahat itu pun wujud dalam diri kita.

Dan sejauh manakah pula keikhlasan hati kita terhadap kawan kita sang tokoh yang kita anggap dan percaya dia bermasalah itu? Periksalah diri kita sendiri. Jangan terlupa memeriksa diri kita sendiri pada ketika kita sibuk membincangkan masalah yang membelit diri kawan kita sang tokoh itu, dan bagaimana pendekatan yang wajar untuk kita menegurnya.

Barangkali eloklah kita mencari posisi yang strategik untuk kita duduk merenung diri kita sendiri, sementara keberkatan Ramadhan masih belum meninggalkan kita. Dan di waktu sunyi dinihari, ketika kita berdoa memohon Allah menolong kita dan keluarga kita, apa salahnya kita berdoa juga untuk kawan kita sang tokoh yang bermasalah itu.

----
Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau SMS 0136362408

Tiada ulasan:

Catat Ulasan