UBN Najib Altantuya: Kami tidak akan mengemis pada KDN - Zunar

Ketua Editor majalah humor politik Gedung Kartun, Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mengemis pada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung permit majalah tersebut.

“Kalau hendak lulus, luluslah. Kalau tidak, kami tidak akan mengemis pada KDN.

"Kami boleh buat (terbitkan) dalam bentuk lain,” kata kartunis Zunar yang terkenal dengan 'kartun hidung besar' mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengulas cabaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada
Gedung Kartunsupaya membawa KDN ke muka pengadilan jika tidak berpuas hati dengan rampasan majalah tersebut minggu lalu.

Hishammuddin dilaporkan berkata, majalah satira politik itu diterbitkan tanpa permit dan bercanggah dengan undang-undang sedia ada.

Menteri itu juga dilaporkan menyarankan supaya Zunar yang juga bekas editor
Suara Keadilan itu, bertemu dengan pegawai KDN terlebih dahulu berhubung perkara itu.

Mengulas kenyataan Hishammuddin itu, Zunar berkata, pihaknya tidak berniat memanjangkan isu tersebut ke mahkamah kerana ia bukan tujuan
Gedung Kartunditerbitkan.

“Apa ertinya cabaran ini? Kami bukan mahu mencabar atau minta dicabar. Kita sudah jawab apa yang perlu, kita berikan fakta kita, KDN perlu jawab.

"Kalau mereka kata permit (
Gedung Kartun) dalam proses, kita hendak tahu pendirian mereka, lulus atau tidak?," katanya.

Ekoran kenyataan Hishammuddin itu, pihak pengurusan majalah tersebut turut membatalkan hasrat mereka hendak bertemu menteri berkenaan seperti yang dirancang sebelum ini.

“Kalau dia (Hishammuddin) cakap macam itu, buat apa hendak jumpa. Buang masa,” kata Zunar.

Selasa minggu lalu, pejabat majalah itu diserbu lapan pegawai kementerian dan 408 naskhah majalah dirampas.

Sehari kemudian, kilang percetakannya di Seri Kembangan, Serdang pula diserbu sekumpulan pegawai KDN dan 18 plet percetakan dirampas.

Tindakan itu dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, pula digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai "Rosmoh."

Setebal 68 halaman, Gedung Kartun juga menggelarkan Najib sebagai "Datuk Nazak", dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Abdul Razak Hussein.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan