Harakahdaily | |
KUALA LUMPUR, 11 Sept: Kerana fahaman Islam Umno hanya untuk pembangunan ekonomi sahajalah maka berkecainya badan wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu, kata Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali. Bagi beliau, Umno hanya memalukan umat Islam di seluruh dunia sahaja jika terus mendakwa mereka adalah parti Islam. "Kalau Umno mengaku parti Islam maknanya bagi Umno Islam ini untuk pembangunan ekonomi sahajalah. Yang lain seperti aqidah, keadilan, akhlak dan moral, Umno tidak terimalah," kata anggota Parlimen Titiwangsa itu. Lo' Lo' yang juga AJK PAS Pusat mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata, Umno adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat Islam dan negara ini. "Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan Umno sejak 53 tahun yang lepas berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam dengan membuka tanah rancangan Felda dan adakah ini bukan tuntutan Islam?," kata beliau ketika menghadiri majlis Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur di sini semalam. "Kita tidak perlu label "membangun bersama Islam" kerana kita telah lama memperjuangkan Islam dan telah memberi keselesaan hidup kepada umat Islam kerana kita tidak mahu umat Islam miskin dan tidak ada kekuatan," kata Najib. Bagi Lo' Lo', kerana sikap Presiden Umno begitulah maka Umno penuh dengan amalan yang tidak baik seperti rasuah, kebocoran wang negara dan tidak amanah berleluasa di negara ini. "Kerana anggapan Islam Umno itulah maka berkecainya nyawa Altantuya Shariibuu dan matinya Teoh Beng Hock di pejabat SPRM," kata Lo' Lo' kepada Harakahdaily. Bagi beliau, apa yang dibuat oleh Umno ketika menganggap Islam hanya membangunkan ekonomi pun hanya membangunkan ekonomi untuk golongan tertentu sahaja bukan untuk umat Islam semuanya kerana ramai umat Islam sendiri yang terus terbiar papa kedana. "Hanya untuk Umno dan BN serta kroni mereka sahaja," kata beliau menambah hujjahnya. Bagi beliau, Umno hanya mengambil Islam yang sesuai dan untuk kepentingan mereka sahaja tetapi meninggalkan ajaran dan akhlak yang dibawa oleh Islam. "Jenayah dan keselamatan rakyat terancam. Pimpinan Pakatan Rakyat tergugat. Semua ini Umno tidak pentingkan kerana fahaman Umno Islam adalah untuk kemajuan ekonomi sahaja," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan